Kebudayaan Mah Meri Yang Semakin Hilang

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog hanshanis.com sekalian. Jadi, kali ini Hans ingin berkongsi aktiviti seterusnya sewaktu mengikuti program Exploring The Treasures Of Selangor yang dianjurkan oleh Tourism Selangor dengan kerjasama Fire Fly. Kali ini Hans dan rakan-rakan media lain dibawa pula menjejak kehidupan masyarakat orang asli Mah Meri yang terletak di Pulau CareyPerkampungan Mah Meri di Pulau Carey ini sebenarnya terletak antara selatan Pelabuhan Klang dan utara Banting, Selangor dimana jumlah komuniti masyarakat Mah Meri ini dilaporkan seramai 1409 orang.


Hans tiba di Pusat Kraf Orang Asli Kampung Sungai Bumbundi Pulau Carey dan disambut mesra oleh masyarakat dengan sana dengan pemberian sebuah 'tanjak' yang dibuat sendiri oleh meraka menggunakan daung mengkuang dan disematkan di atas kepala menandakan ucapan Selamat Datang ke perkampungan Mah Meri ini.


Mah Meri ini bermaksud Orang Hutan atau dalam istilah mereka dipanggil 'Pesisik' atau 'Orang Laut'. Masih ramai sebenarnya rakyat Malaysia yang belum menyedari tentang kewujudan orang asli Mah Meri ini. Hans sendiri pun mengetahui tentang masyarakat Mah Meri ini secara kebetulan semasa zaman universiti dahulu dimana seorang rakan kuliah merupakan orang asli Mah Meri.



Hans berpeluang untuk berbual dengan Puan Julida Anak Udu yang merupakan orang asli Mah Meri. Wanita yang sudah berusia 50 tahun dan mempunyai empat orang anak lelaki ini akan melakukan persembahan buat kali kedua di Jerman pada bulan Mac ini. Menariknya dia langsung tidak  kelihatan kekok dan sangat mesra semasa berkongsi tentang keistimewaan serta budaya kaum Mah Meri yang semakin hari semakin pupus ditelan zaman tanpa pembelaan dan kawalan daripada orang Malaysia sendiri.


Untuk pengetahuan semua, masyarakat Mah Meri ini pada waktu dahulu sememangnya tinggal berdekatan dengan laut dan hutan kerana mudah untuk mereka mencari tempat tinggal dan berburu. Ada sebuah kisah menarik yang diceritakan kepada Hans tentang makhluk hutan yang digelar orang Mah Meri dengan nama Bongkol. Si Bongkol ini selalunya akan menyesatkan orang Mah Meri atau orang luar yang berada di dalam hutan dengan cara penyamaran suara-suara orang yang kita kenali. Jadi, orang Mah Meri selalu memberitahu sesiapa pun bahawa hutan harus dihormati dan jangan diganggu.


Sebelum ini, Hans ada juga terbaca tentang kisah di akhbar berkaitan perkampungan orang Mah Meri ini semakin dilanda kemodenan dan bakal ditelan pembangunan. Jadi, Hans bertanyakan sendiri hal ini kepada Puan Julida dan dia mengakui tentang hal tersebut serta rasa sedihnya mengenangkan nasib masyarakat Mah Meri di sana. Hans sendiri secara peribadi agak kesal tentang hal ini dan terfikir kenapa kerajaan Malaysia tidak mencontohi inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan Taiwan dimana mereka bukan sahaja menjaga dan melindungi budaya masyarakat orang asli di sana tetapi ia juga dijadikan sebagai tarikan pelancongan serta sumber ekonomi buat penduduk orang asli serta kerajaan Taiwan sendiri. Sayang di Malaysia kita masih ketinggalan dari segi hal kebudayaan orang asli ini.


Hans tertarik untuk berkongsi tentang satu perkara yang menarik berkaitan orang asli Mah Meri ini. Pada satu ketika dahulu ialah kaum wanita terutama anak dara wajib tahu menganyam, memasak dan menjaga anak sebagai syarat sah untuk berkahwin. Manakala bagi kaum lelaki terutama si teruna perlu pandai bertukang dan membina rumah jika mahu menjadi suami.


Selain itu, keluarga pihak lelaki dan pihak perempuan perlu sama-sama berkumpul bukan sahaja sewaktu majlis perkahwinan tetapi juga jika terjadinya penceraian di kalangan suami isteri. Jadi, kita nampak disini bahawa orang asli Mah Meri ini mempunyai jiwa yang pemaaf dan tidak suka berdendam maka amalan yang mereka amalkan ini sebenarnya sangat baik untuk mengekalkan silaturahim sesama mereka walaupun berlakunya kes penceraian.


Selain itu juga, Hans tertarik tentang sejarah pahlawan mereka. Pahlawan Mah Meri pada zaman dahulu digeruni bukan kerana kekuatan mereka di dalam berlawan menggunakan senjata atau bertempur dengan musuh. Tetapi, mereka digeruni kerana kekuatan sihir atau ilmu hitam mereka yang sangat dasyat serta penggunaan racun melalui peralatan sumpit. Selain itu, masyarakat Mah Meri ini mempunyai sikap yang agak unik dimana mereka tidak suka bergaduh atau berperang. Mereka lebih suka beralah dan ini antara punca yang menyebabkan penempatan suku kaum Mah Meri ini begitu mudah diganggu gugat oleh orang luar sejak dahulu kala lagi.


Menyentuh pula tentang nilai seni orang Mah Meri, Hans telah dipersembahkan sebuah tarian tradisional yang diberi nama tarian Jooh atau dikenali sebagai tarian topeng.


Tarian ini selalunya akan diadakan pada 7 Mac pada setiap tahun bertujuan untuk memperingati nenek moyang dan memohon kesejahteraan kepada semua penduduk masyarakat Mah Meri.


Tarian Jooh ini akan diiringi dengan alunan muzik tradisional seperti tambo (gendang), tuntung (buluh), biola dan gong. Manakala penari-penarinya pula akan berpakaian tradisi yang dibuat daripada kulit kayu dan disertakan dengan aksesori tambahan yang dihasilkan daripada anyaman daun nipah.


Paling menarik apabila penari lelakinya pula bertopeng dan akan menari mengikut arah jam dan ia berbeza dengan penari wanita yang menari mengikut lawan arah jamSelain itu, Hans juga berkesempatan melihat bagaimana kehebatan orang asli Mah Meri di dalam bidang menganyam dan mengukir patung.


Kesimpulannya, kebudayaan Mah Meri ini wajar dipelihara dan dikekalkan demi khazanah negara yang bernilai. Hans juga berharap agar kerajaan Malaysia lebih bekerja keras di dalam memperkenalkan lagi budaya-budaya orang asli lain yang terdapat di Malaysia dan mencontohi usaha hebat yang telah dilakukan di Taiwan yang terbukti berjaya dan menjadi tarikan pelancong seluruh dunia. Kepada pembaca yang belum pernah ke Perkampungan Mah Meri di Pulau Carey ini maka silalah datang dan kenali kaum Mah Meri yang sangat peramah dan baik hati ini. 

Post a Comment

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

Terbaru Lebih lama