Restoran Mansion 1969

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog hanshanis.com sekalian. Jadi, kali ini Hans ingin berkongsi aktiviti seterusnya sewaktu mengikuti program Exploring The Treasures Of Selangor yang dianjurkan oleh Tourism Selangor dengan kerjasama Fire Fly. Seterusnya Hans dan rakan media lain telah dibawa untuk menikmati makan malam di Restoran Mansion 1969 yang terletak di Jenjarom, Selangor.



Restoran Mansion 1969 ini mendapat namanya apabila ia dibina pada tahun 1969. Asalnya kawasan restoran ini merupakan sebuah tinggalan lama yang telah ditinggalkan pada tahun 1969 sebelum ia dibaik pulih dan diubah menjadi restoran seperti hari ini.


Restoran Mansion 1969 ini terletak di Jalan Klang-Banting, Kampung Sungai Rambai, Jenjarom. Ia dibuka setiap hari Rabu hingga Isnin bermula pada pukul 12 tengahari sehingga 9 malam. Manakala pada hari Selasa pula Restoran Mansion 1969 ini ditutup.


Antara yang menarik tentang Restoran Mansion 1969 ini ialah pemandangan dalamannya yang sangat memukau mata. Selain itu, anda juga dapat melihat kawasan luar yang dipenuhi pelbagai pokok buah-buahan seperti rambutan dan durian menerusi lapisan dinding kaca yang membantu membangkitkan lagi selera makan anda saat menjamu selera disini.


Restoran Mansion 1969 ini juga merupakan syurga buat sesiapa yang suka bergambar kerana di restoran ini penuh dengan pelbagai sudut yang menampilkan dekorasi, lukisan serta barang antik yang sangat cantik dan unik. Memang ada banyak juga benda-benda baru yang Hans belum pernah lihat dan dapat dijumpai di sini.


Restoran Mansion 1969 yang berkonsepkan hipster dan vintage ini bukan sahaja menang dari segi dekorasi dan barang-barang antiknya tetapi juga rasa makanannya yang sangat-sangat lazat. Disini, mereka menyajikan makanan berkonsepkan Cina dan Barat. Apa yang lebih menarik terdapat menu disini yang menggabungkan kedua-dua konsep ini di dalam satu hidangan dan rasanya memang sangat unik dan lazat. Antara menu tersebut ialah Tom Yam Spaghetti yang sangat sedap dan menjadi rebutan ramai saat kami menjamu selera disini. Dengan harga RM15, Hans jamin anda pasti berpuas hati menjamah sepinggan Tom Yam Spaghetti yang begitu sedap rasanya.

HERBAL CHICKEN

BLACK PEPPER ROASTED CHICKEN

HERBAL CHICKEN RICE

PAN FRIED MEE HOON

BALINISE FRIED RICE

TOTE POTATO

TOM YAM SPAGHETTI


Dua menu yang paling Hans suka sekali disini ialah Tom Yam Spaghetti dan Tote Potato. Serius rasa kedua-dua menu ini bukan sekadar unik tetapi sangat sedap. Ikutkan hati rasa macam nak makan lagi sahaja tetapi apakan daya masa mencemburui kami kerana ada lokasi seterusnya yang harus dituju.


Secara jujurnya, Restoran Mansion 1969 ini merupakan salah sebuah tempat makan yang wajib dicuba oleh sesiapa yang pencinta makanan yang mencari hidangan-hidangan yang sedap, unik, cantik dan menyelerakan. Selamat mencuba menu-menu disini dan semoga anda juga gembira menikmati juadahnya seperti mana yang dirasai oleh Hans dan rakan media yang lain.








Post a Comment

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

Terbaru Lebih lama