Misteri Gua Bewah Di Tasik Kenyir

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Baru-baru ini Hans telah terlibat di dalam program Ekspresi Media-Kenyir 2019 anjuran Tourism Malaysia yang berlangsung pada 17 hingga 21 Mac 2019 yang lepas. Jadi, sepanjang empat hari empat malam Hans berada di bumi Terengganu sememangnya terdapat pelbagai memori menarik yang ingin Hans kongsikan kepada semua pembaca.


Selepas berjaya menjejak pokok Melunak yang dikatakan sebagai pokok paling besar di Tasik Kenyir dan semenanjung Malaysia, Hans dan rakan-rakan media lain dibawa pula ke sebuah lagi lokasi berdekatan iaitu Gua Bewah yang menyimpan pelbagai misteri serta keunikan yang perlu diterokai sendiri oleh para pengunjung Tasik Kenyir. Perjalanan hanya mengambil masa sekitar lima hingga sepuluh minit sahaja sebelum tiba di kawasan jeti Gua Bewah.


Untuk pengetahuan anda semua, terdapat dua buah gua terpencil di bukit batu kapur yang boleh ditemui di Tasik Kenyir iaitu Gua Taat dan Gua Bewah. Hans tidak berkesempatan menerokai Gua Taat tetapi Gua Bewah yang terletak di Bukit Bewah ini juga tidak kurang hebatnya dari segi sejarah, keunikan serta misterinya.


Untuk maklumat anda, Gua Bewah merupakan habitat bagi spesis haiwan nocturnal dan serangga yang boleh ditemui mendiami kawasan dalam gua. Ia merupakan gua terbesar di Tasik Kenyir dengan pintu masuk melengkung 40 meter di atas paras air. Jadi, dinasihatkan agar memakai pakaian yang bersesuaian sewaktu memasuki Gua Bewah ini.


Pada tahun 1970-an, ahli arkeologi menjumpai satu penemuan yang menarik di dalam gua iaitu rangka seorang manusia pra-sejarah dan artifak primitif yang digunakan semasa zaman Batu seperti periuk, kapak dan alatan dapur. Selain itu, terdapat rangka seorang manusia pra-sejarah yang baru dijumpai di kawasan itu yang dianggarkan berusia 16,000 tahun. Ianya digelar sebagai "Bewah Man" dan dipercayai rangka tertua pernah ditemui di dalam negara Malaysia setakat hari ini. Untuk pengetahuan semua, walaupun rangka tersebut digelar Bewah Man namun hakikat sebenarnya ialah rangka manusia tersebut sebenarnya merupakan rangka seorang wanita.


Selain kisah Bewah Man, tarikan Gua Bewah yang wajar dimanfaatkan sebaik mungkin oleh sesiapa yang mengunjungi lokasi ini ialah dengan menyaksikan pelbagai jenis saiz serta rupa stalaktit dan stalagmite yang terbentuk secara semulajadi di dalam Gua Bewah ini. Hans sangat kagum melihat rupa bentuk batu-batunya yang begitu unik hasil bantuan telefon pintar. Jika nak harapkan mata sendiri memang nampak gayanya nampak kegelapan malam sahaja lah di dalam Gua Bewah ini. Hahaha!


Lebih menarik, Gua Bewah ini turut mempunyai sebuah mini muzium yang menempatkan gambar serta artifak yang ditemui di dalam gua ini. Selain itu, mini muzium ini juga turut berkongsi sejarah berkaitan kawasan Gua Bewah serta penempatan sekitarnya sebelum ini yang menarik untuk anda baca bagi menambahkan ilmu pengetahuan serta info tentang kawasan ini.


Ini adalah antara artifak yang ditemui di kawasan Gua Bewah ini. Ada banyak lagi sebenarnya tetapi kerana Hans tidak sabar untuk masuk ke dalam Gua Bewah menyebabkan gambar-gambar di dalam mini muzium Gua Bewah tidak sempat diambil.


Sebelum ini, Gua Bewah pernah menjadi kilang pengeluaran tahi kelawar dan sesiapa yang memasuki gua ini pasti perlu memakai penutup hidup disebabkan bau amonia yang sangat kuat yang terhasil daripada najis kelawar. Tetapi, syukur alhamdulillah kerana keadaan tersebut sudah berubah sewaktu Hans masuk ke dalam Gua Bewah ini. Hans mendapati kawasan dasar gua ini seperti sudah dibersihkan daripada tahi kelawar kerana Hans tidak nampak najis-najis haiwan tersebut bertebaran atau melata sepanjang Hans berjalan memasuki kawasan Gua Bewah ini.


Hans menyarankan kepada sesiapa yang ingin memasuki Gua Bewah ini agar mendapatkan pemandu pelancong yang berlesen supaya aktiviti anda tidak sia-sia. Ini kerana terdapat banyak info menarik tentang Gua Bewah ini yang telah dikongsikan oleh mereka yang lebih arif di dalam mengenali rahsia Gua Bewah ini. Selain itu, Hans dan rakan-rakan media lain turut bernasib baik apabila dapat melihat kelawar serta serangga yang tinggal di dalam kawasan Gua Bewah ini kerana kawasan dalaman Gua Bewah ini telah dilengkapi dengan tangga serta jalan kayu yang sangat memudahkan pengunjung untuk berjalan sambil melihat kawasan sekitar gua dengan lebih selamat. Cuma sayangnya Hans tidak berpeluang bertemu dengan spesis ular berwarna putih yang dikatakan turut menghuni kawasan dalam gua ini.


Hans pada mulanya menyangka labah-labah di dalam Gua Bewah ini hanya bersaiz kecil. Tetapi, apabila melihat depan mata memang boleh tahan saiznya. Besar tapak tangan! Haha!


Ada satu sudut dimana banyak rakan-rakan media mengambil gambar. Hans pada mulanya tidak menyedari apa sebenarnya gambar yang mereka cuba ambil. Namun lama kelamaan baru Hans sedar tentang keunikan gambar di atas dimana ia seolah-olah sedang menunjukkan seorang manusia yang sedang bersujud.


Selain itu, Hans berpeluang menemui lipan, lipas serta ketam yang turut tinggal di dalam Gua Bewah ini. Hans dimaklumkan hanya seekor ketam serta seekor ular putih sahaja yang menetap di dalam gua ini sejak dahulu lagi. Memang menjadi satu tanda tanya juga kepada Hans kenapa hanya seekor sahaja yang tinggal disini. Betul-betul unik dan sangat misteri.


Sedikit tips serta nasihat kepada anda yang ingin meneroka Gua Bewah ini supaya membawa lampu suluh atau Headlamp bagi memudahkan perjalanan anda untuk masuk dan meneroka kawasan dalam Gua Bewah ini. Selain itu, untuk sesiapa yang sensitif kepada bau najis kelawar, anda disarankan membawa kain penutup hidup sewaktu masuk ke dalam Gua Bewah ini. 


Jadi, pastikan percutian anda sebagai sebuah percutian yang lengkap apabila datang ke Tasik Kenyir dengan menerokai keunikan serta keistimewaan yang ditawarkan di Gua Bewah ini. Satu kerugian jika anda berada di Tasik Kenyir tetapi tidak berkunjung ke Gua Bewah ini yang merupakan satu lokasi yang sangat menarik untuk dilawati.

P/S : ANTARA LOKASI MENARIK LAIN YANG BOLEH DIBACA SEPANJANG EKSPRESI MEDIA-KENYIR 2019 ADALAH SEPERTI DI BAWAH:





















2 Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

  1. Menarik dan adventure... lama dah teman tak join aktiviti sebegini... Terima kasih atas perkongsian ini...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehe
      memang menarik
      kalau pergi ke Tasik Kenyir silalah buat aktiviti-aktiviti nih
      mesti puas hati

      Padam

Catat Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

Terbaru Lebih lama