Nasi Dagang Warung Norazila Kuala Ibai

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Baru-baru ini Hans telah terlibat di dalam program Ekspresi Media-Kenyir 2019 anjuran Tourism Malaysia yang berlangsung pada 17 hingga 21 Mac 2019 yang lepas. Jadi, sepanjang empat hari empat malam Hans berada di bumi Terengganu sememangnya terdapat pelbagai memori menarik yang ingin Hans kongsikan kepada semua pembaca.


Selepas Hans selesai menunaikan solat subuh di Masjid Tengku Tengah Zaharah atau lebih dikenali sebagai Masjid Terapung di Kuala Ibai maka sudah semestinya perut pun sudah terasa lapar. Jadi, Hans dan rakan-rakan media yang lain telah dibawa oleh pihak Tourism Malaysia untuk menikmati sarapan pagi di Warung Norazila Kuala Ibai yang terletak di Jalan Batu Buruk, Taman Midah, 20400 Kuala Terengganu, Terengganu.


Menu apa sebenarnya yang menarik yang terdapat di Warung Norazila Kuala Ibai ini? Hans difahamkan terdapat pelbagai jenis hidangan berasaskan nasi yang lazat-lazat ditawarkan disini kepada para pelanggan serta penduduk setempat. Seperti biasa kalau sudah datang ke negeri Terengganu adalah wajib untuk menikmati hidangan nasi dagang gulai ikan tongkol sebagai menu sarapan pagi.


Harga untuk sepinggan nasi dagang yang dijual di Warung Norazila Kuala Ibai ini bukan sekadar murah tetapi kuantitinya juga agak mengenyangkan. Nasi dagang sebenarnya merupakan menu yang sangat popular di kalangan masyarakat pantai timur seperti Terengganu, Kelantan dan Pahang. Hans yang pernah merasa nasi dagang hasil air tangan orang Terengganu dan juga orang Kelantan merasakan terdapat sedikit perbezaan rasa bagi setiap hidangan. Namun, ada juga yang menyatakan tiada perbezaan dari segi rasa untuk hidangan nasi dagang dari kedua-dua negeri. Terpulang kepada anda untuk menentukannya selepas merasai nasi dagang bagi kedua-dua versi negeri.


Hans sebenarnya tertarik untuk berkongsi sebuah kisah menarik berkenaan nasi dagang yang diceritakan kepada Hans oleh pemandu pelancong sepanjang Ekspresi Media-Kenyir 2019 ini. Nasi dagang ini khabarnya diperkenalkan oleh orang-orang Bugis yang tinggal di negeri Terengganu. Pada asalnya, orang-orang Bugis ingin mempersembahkan makanan Bugis yang dipanggil burasak kepada Sultan yang memerintah Terengganu pada ketika itu selepas selesai solat sunat hari raya. Hidangan burasak ini merupakan sejenis ketupat di dalam daun pisang dan dimakan bersama gulai ikan aya. Sultan telah mendapat tahu tentang niat orang-orang bugis teringin untuk melihat dan merasa menu tersebut. Bau harum hasil daripada santan, daun pisang serta nasi yang dikukus telah membuatkan Sultan bertitah untuk merasa menu tersebut.


Namun, orang-orang Bugis mula risau kerana terdapat sedikit kesilapan dari segi penyediaan menu tersebut dimana beras dan beras pulut telah tercampur tanpa mereka sedari sehingga tiba ke proses mengukus. Tidak cukup dengan masalah tersebut, timbul pula masalah baru dimana kuantiti santan yang dimasukkan ke dalam beras juga adalah lebih daripada kebiasaan. Selepas disantap sedikit oleh Sultan maka baginda tersenyum dan terus bertitah bahawa baginda mahu Nasi Orang Dagang ini dipersembahkan untuk santapan pagi esok. Hal ini melegakan orang-orang Bugis yang berjaya menyimpan rahsia sebenar untuk mengelak daripada kemurkaan Sultan tentang hidangan mereka yang sebenarnya masih belum masak sepenuhnya. Bermula daripada kejadian tersebut lah maka lahirnya perkataan nasi dagang yang digunakan sehingga ke hari ini.


Jadi, tiba masanya untuk Hans menikmati nasi dagang di Warung Norazila Kuala Ibai ini sambil ditemani secawan Kopi O panas yang sangat menyelerakan. Pada asalnya, Hans hanya ingin menjamah sepinggan sahaja memandangkan hidangan nasi dagang ini boleh dikatakan sebagai hidangan yang agak berat untuk dimakan oleh Hans pada waktu pagi. Namun, niat Hans tersebut terkubur disebabkan rasa nasi dagang gulai ikan tongkol yang dijual disini bukan sahaja sedap tetapi mempunyai rasa berlemak serta pedas yang sangat kena dengan citarasa Hans. Rasa lemak pada nasi dagang tersebut memang kena dan amat mengagumkan Hans kerana tekstur nasinya yang lembut dan sangat sedap. Isi ikan tongkol yang Hans makan juga sangat segar dan pejal. Kuah gulai ikan tongkol juga sangat sedap dan merupakan kombinasi yang sangat sesuai dengan nasi dagang. Ditambah dengan sedikit sayur pecal menjadikan hidangan nasi dagang Warung Norazila Kuala Ibai ini wajib dicuba bagi sesiapa yang berkunjung ke negeri Terengganu dan meminati hidangan tradisional ini.


Jadi, Hans tinggalkan sebuah video di atas untuk para pembaca menonton sendiri pengalaman Hans menikmati hidangan nasi dagang gulai ikan tongkol di Warung Norazila Kuala Ibai ini. Boleh lihat wajah Hans yang pada mulanya seperti tiada apa-apa dan masih mampu fokus kepada kamera. Tetapi, saat menyuap sahaja nasi dagang tersebut ke dalam mulut terus Hans hilang fokus kepada kamera tetapi memberi tumpuan kepada nasi dagang serta ikan tongkol yang ada di hadapan mata. Selamat menonton!

P/S : ANTARA LOKASI MENARIK LAIN YANG BOLEH DIBACA SEPANJANG EKSPRESI MEDIA-KENYIR 2019 ADALAH SEPERTI DI BAWAH:






















2 Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

Catat Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

Terbaru Lebih lama