Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Baru-baru ini Hans telah terlibat di dalam program Ekspresi Media-Kenyir 2019 anjuran Tourism Malaysia yang berlangsung pada 17 hingga 21 Mac 2019 yang lepas. Jadi, sepanjang empat hari empat malam Hans berada di bumi Terengganu sememangnya terdapat pelbagai memori menarik yang ingin Hans kongsikan kepada semua pembaca.
Kredit Gambar : Studyomung
Jadi, lokasi menarik berikutnya yang boleh ditemui di Tasik Kenyir dan telah berjaya membuatkan Hans terkenang-kenang sehingga kini ialah Santuari Kelah. Istimewanya tentang kawasan ini ialah para pengunjung yang datang ke sini bukan sahaja berpeluang untuk mandi tetapi juga dapat berenang dan bermain dengan ribuan ikan kelah yang hidup di sebuah kawasan di Santuari Kelah ini yang dinamakan Lubok Kejor.
Hans dan rakan-rakan media yang lain bertolak awal pagi dari hentian Air Terjun Sungai Lasir menuju ke Pusat Kawalan Santuari Kelah untuk mendengar taklimat terlebih dahulu berkenaan peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi semasa berada di kawasan tersebut nanti. Perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang sejam dan seperti biasa Tasik Kenyir sentiasa memberikan Hans kejutan dari segi pemandangan indah langit yang dipenuhi awan, bukit-bukau yang menghijau serta kecantikan air tasik yang berwarna biru menghijau sewaktu dalam tempoh perjalanan ke pos kawalan tersebut.
Untuk makluman semua, Pusat Santuari Kelah yang terletak di Sungai Petang ini dibuka kepada pelawat bermula dari bulan Mac sehingga Oktober pada setiap tahun. Sungai Petang ini pula mempunyai 91 aliran yang mengalir dari Gunung Padang. Kawasan ini diwartakan untuk perlindungan, pemeliharaan dan pembiakan ikan kelah.
Video Perjalanan Dari Air Terjun Lasir Menuju Pos Kawalan Santuari Kelah
Memandangkan ikan kelah merupakan salah satu jenis spesis ikan yang dilindungi di kawasan Tasik Kenyir maka aktiviti memancing, menangkap atau memakan ikan kelah di kawasan ini adalah dilarang sama sekali bagi mengekalkan kawasan pembiakan semula jadi untuk ikan-ikan kelah disini. Hans sangat gembira mendengar taklimat yang disampaikan kepada para pelawat terlebih dahulu di Pusat Kawalan Santuari Kelah sebelum aktiviti ke Lubok Kejor dimulakan kerana banyak maklumat yang diperoleh tentang usaha melindungi habitat alam semula jadi ini.
Hans turut dimaklumkan sewaktu taklimat berlangsung dimana harga ikan kelah yang terdapat di Tasik Kenyir ini mempunyai nilai harga yang sangat tinggi sehingga dikatakan mencecah harga sekitar RM1000 untuk satu kilogram. Di kawasan ini terdapat dua jenis spesis ikan kelah iaitu kelah hijau hitam dan kelah merah. Jadi, sebagai rakyat Malaysia jika anda datang ke kawasan ini silalah hargai keindahan serta keistimewaan alam disini dan jangan pula cuba menangkap, membunuh atau mencederakan ikan-ikan kelah disini. Tanggungjawab kita untuk memelihara dan melindungi spesis yang terancam ini demi kelangsungan alam semula jadi di Tasik Kenyir.
Bermula dari Hentian 1 untuk menuju ke kawasan lubuk kelah yang terdapat di kawasan Lubuk Kejor, Hans dan rakan-rakan media yang lain perlu melalui beberapa kawasan sejauh hampir 2 kilometer terlebih dahulu. Namun, Hans cukup sukakan suasana serta pemandangan sekitar sepanjang berjalan kaki tersebut banyak perkara menarik yang Hans dapat saksikan serta rasai sendiri bersama rakan-rakan media yang lain seperti melihat kawasan air yang bersih, lipan bara melintas di hadapan kami, kawasan kayu balak hanyut yang terkumpul di satu sudut serta keindahan flora dan fauna yang wujud disini.
Salah satu perkara yang menarik apabila Hans perlu melalui jambatan gantung sepanjang 700 meter yang agak mencabar. Disebabkan Hans bukannya seorang manusia yang takut kepada ketinggian jadi apabila melalui jambatan ini yang seakan-akan berayun ke kanan dan kiri sememangnya membuatkan Hans rasa teruja melaluinya daripada awal sehingga ke penghujung. Di Santuari Kelah ini juga terdapat banyak kemudahan yang disediakan seperti tandas, bilik persalinan dan surau. Jadi, tidak perlu ada kegusaran jika anda ingin datang ke sini nanti.
Salah satu kawasan perhentian di sini menempatkan sebuah kioks menjual makanan ringan serta makanan ikan kelah berbentuk palet. Sebungkus makanan ikan kelah berharga RM2. Hans sarankan buat anda yang akan datang bercuti ke sini supaya membeli minima tiga bungkus makanan ikan kelah supaya kepuasan anda berada di tahap maksimum sewaktu memberi ikan kelah makan nanti.
Selain berjalan, menaiki tangga serta merentas jambatan gantung di sini, Hans dan rakan-rakan lain juga perlu melalui kawasan berbatu sebelum tiba di sebuah jambatan lain yang menghubungkan pengunjung dengan Lubuk Kejor yang merupakan kawasan utama untuk para pelawat bermandi dan bermain-main dengan ikan kelah. Jarak dari jambatan ini menuju ke lubuk kelah adalah sekitar 50 meter. Waktu ini memang Hans tak sabar-sabar nak sampai ke lokasi yang dituju memandangkan kejernihan air dan batu-batu sungai yang kelihatan cantik seolah-olah memanggil-manggil Hans untuk terjun ke dalam air.
Video Kawasan Sekitar Santuari Kelah
Hans terkelu buat seketika waktu apabila tiba di Lubuk Kejor ini dimana ribuan ikan kelah dapat dilihat dengan mudah memenuhi seluruh kawasan air yang menjadi tempat para pengunjung untuk berendam, berenang dan memberi makan kepada ikan-ikan kelah di sini. Hans dimaklumkan ikan kelah di kawasan ini sangat jinak dan seolah-olah memahami kedatangan manusia ke kawasan ini pastinya akan hadir dengan membawa makanan buat mereka. Jadi, memandangkan setiap pengunjung hanya diberikan masa selama 30 minit sahaja untuk berada disini maka Hans nasihatkan silalah manfaatkan masa anda sehabis baik dengan segera mandi dan memberi makan kepada ikan-ikan kelah disini.
Video Perasaan Pertama Hans Saat Kaki Masuk Ke Dalam Santuari Kelah
Setiap pengunjung yang datang ke sini diberi masa yang terhad iaitu hanya 30 minit setiap seorang disebabkan untuk mengehadkan jumlah kunjungan selain menjaga keselamatan para pengunjung serta kawasan ekosistem disini. Hans turut dimaklumkan kedatangan pengunjung disini dihadkan hanya untuk 200 orang setiap hari dan hanya dibuka pada waktu pagi sehingga tengahari sahaja.
Hans turut bertanyakan satu soalan tentang kenapa Pusat Santuari Kelah ini ditutup pada bulan November sehingga Februari pada setiap tahun. Untuk makluman semua, kawasan ini ditutup pada waktu tersebut kerana ia merupakan musim ikan kelah bertelur dan membiak. Jadi, rancang waktu percutian anda ke Tasik Kenyir jika anda ingin merasa sendiri pengalaman bersama ikan kelah di Lubuk Kejor di Pusat Santuari Kelah ini.
Terdapat beberapa rakan media yang pada mulanya agak ketakutan atau geli apabila diserbu oleh ribuan kelah saat kaki menjejak masuk ke dalam air. Hans tidak lah terasa takut cuma pada awalnya agak geli apabila ikan-ikan kelah ini menggigit manja atau menyedut kulit-kulit di seluruh badan Hans. Jadi, pastikan pakaian yang anda pakai sewaktu masuk ke dalam air adalah bersesuaian. Buatnya ikan kelah masuk dalam seluar tak tahulah apa jadi nanti. Hahaha!
Jangan risau untuk digigit ikan kelah kerana Hans dimaklumkan bahawa ikan kelah tidak mempunyai gigi. Hans juga turut dimaklumkan bahawa ikan kelah hanya hidup di air sungai yang bersih sahaja dan kawanan ikan kelah ini akan berenang melawan arus sungai. Itu yang yang menyebabkan ikan kelah ini sebenarnya mempunyai fizikal yang kuat.
Para pengunjung dilarang membawa makanan luar untuk diberi kepada ikan kelah disini. Jadi, seperti yang Hans kongsikan sebelum ini silalah beli makanan ikan kelah berbentuk palet di kioks yang terdapat di kawasan Santuari Kelah ini. Makanan berbentuk palet tersebut sememangnya telah dibuat khas untuk menjaga kualiti ikan kelah yang terdapat disini. Sebagai info tambahan, ikan kelah dikatakan mempunyai kolagen serta merupakan antara menu yang paling sedap untuk dijamah sehingga dikatakan sisiknya juga boleh dimakan disebabkan terdapat kolagen disitu. Jadi, jangan pula nanti anda datang ke sini dengan menyeludup makanan seperti roti atau nasi untuk diberikan kepada ikan kelah disini pula sebab takut nanti merosakkan kualiti ikan kelah disini.
Ramai pengunjung yang hadir ke sini pasti tidak akan melepaskan peluang untuk bergambar dengan ikan kelah. Tetapi, saat awal anda menjejak kaki sahaja di dalam air pasti ribuan ikan kelah akan terus datang menyerbu kaki anda. Jadi, jangan bertindak kasar dengan menendang atau memijak ikan kelah disini. Seretkan kaki anda perlahan-lahan sewaktu berjalan melintasi batu dan pasir sebelum sampai ke kawasan dalam. Elakkan diri anda dari menzalimi ikan-ikan kelah dengan berlaku kasar di dalam habitat mereka.
Video Wajah Seorang Wanita Dilibas Ekor Ikan Kelah
Jadi, untuk mengumpan ikan kelah bagi memudahkan anda mengangkat ikan kelah demi sekeping gambar yang cantik ialah dengan menaburkan makanan di hadapan anda. Tetapi, harus diingat bahawa anda hanya boleh mengangkat ikan kelah ini tidak lebih dari 10 saat untuk kelangsungan hidup ikan kelah disini. Badan ikan kelah ini sangat licin jadi berhati-hati sewaktu memegang. Jangan terlalu menekan kuat badan ikan kelah atau mencampak kasar ikan kelah selepas berjaya memegang badan ikan tersebut. Senang cakap lembutkan tangan anda saat memegang ikan kelah ini.
Seperkara lagi yang menarik ialah cara memberi makanan kepada ikan kelah. Selain menabur makanan palet di hadapan anda, sebenarnya ada satu lagi cara yang menarik untuk dicuba. Letakkan makanan palet di atas tapak tangan anda dan kemudian genggam erat makanan tersebut. Selepas itu masukkan tangan anda yang digenggam ke dalam air dan buka sedikit ruang tepi genggaman anda. Kemudian, anda akan merasai pengalaman menarik apabila mulut ikan kelah ini akan menghampiri ruang genggaman anda yang dibuka sedikit sebentar tadi dan menyedut dengan kuat untuk mendapatkan makanan yang tersembunyi di sebalik genggaman tangan anda tersebut. Memang satu pengalaman yang sangat indah bagi Hans sewaktu memberi ikan kelah disini makan dengan cara tersebut.
Video Ucapan Khas Buat Para Pembaca Blog www.hanshanis.com Sekalian
Kepada para pembaca yang berminat untuk datang ke Santuari Kelah Tasik Kenyir ini, anda akan dikenakan bayaran untuk masuk ke kawasan ini tetapi harganya tidak lah mahal jika hendak dibandingkan dengan pengalaman indah yang bakal anda rasai saat berada di kawasan ini nanti. Dibawah Hans kongsikan harga bayaran untuk masuk ke kawasan ini:
WARGANEGARA MALAYSIA:
RM10 (Dewasa) & RM5.00 (Kanak-kanak)
BUKAN WARGANEGARA MALAYSIA:
RM15 (Dewasa) & RM10.00 (Kanak-kanak)
Video Pengalaman Hans Selepas 30 Minit Mandi Bersama Ikan Kelah
Santuari Kelah yang terdapat di Tasik Kenyir ini merupakan salah satu lokasi atau destinasi menarik yang paling Hans suka sepanjang terlibat di dalam program Ekspresi Media-Kenyir 2019 anjuran Tourism Malaysia ini. Sememangnya jangka masa 30 minit berada dan bermain bersama ikan kelah seolah-olah tidak cukup bagi manusia seperti Hans yang amat gemarkan aktiviti sebegini namun pengalaman yang Hans peroleh dan rasai sendiri disini sangat sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Apa yang Hans boleh katakan, percutian anda di Tasik Kenyir tidak akan lengkap seandainya anda tidak datang ke Santuari Kelah ini. Jadi, pastikan anda memasukkan aktiviti di Santuari Kelah ini di dalam jadual percutian anda seandainya anda merancang untuk datang bercuti ke Tasik Kenyir nanti.
P/S : ANTARA LOKASI MENARIK LAIN YANG BOLEH DIBACA SEPANJANG EKSPRESI MEDIA-KENYIR 2019 ADALAH SEPERTI DI BAWAH:
Program yang best
BalasPadambetul tu
Padambersyukur Hans pergi sebab memang sangat-sangat berbaloi
hehehe
Catat Ulasan
Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com