Perak Man Di Galeri Arkeologi Lembah Lenggong

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Pada 12 hingga 14 Julai 2019 yang lepas, Hans berkesempatan untuk menyertai program FAM Trip Media Dan Agensi Pelancongan Bersempena Karnival Lenggong 2019. Ia adalah salah satu pengalaman yang cukup menarik untuk Hans mendapat info dan mengetahui kenapa Lembah Lenggong begitu istimewa sehingga tersenarai sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO.


Jadi, destinasi seterusnya yang Hans sangat nanti-nantikan untuk pergi ialah Galeri Arkeologi Lembah Lenggong. Apa yang istimewa sangat tempat ini? Kalau anda nak tahu, disini lah terletaknya Perak Man atau nama lainnya ialah Orang Perak yang merupakan rangka manusia paling sempurna dan tertua pernah ditemui di Malaysia. Perak Man telah ditemui di Gua Gunung Runtuh, Lembah Lenggong di Hulu Perak pada tahun 1991. Apa yang menariknya, rangka manusia ini dianggarkan telah berusia sekitar 10,000 tahun hingga 11,000 tahun yang lalu. Menakjubkan bukan?


GALERI ARKEOLOGI LEMBAH LENGGONG 

Alamat:
Galeri Arkeologi Lenggong, 
Jabatan Warisan Negara,
33400 Lenggong,
Perak.

Waktu Operasi:

Isnin - Ahad : 
9.00 A.M - 5.00 P.M 

Jumaat : 
9.00 A.M - 12.00 P.M 
3.00 P.M - 5.00 P.M 

Telefon:
+6057679700



Dikatakan Perak Man yang berketinggian 157 cm dan dipercayai mati pada lingkungan umur 40 hingga 45 tahun ini merupakan seorang manusia yang telah hidup pada zaman batu Paleolitik dan posisi rangka Perak Man ini telah ditemui dalam keadaan foetal oleh pasukan Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia dari universiti Sains Malaysia yang diketuai oleh Prof Zuraini Majid dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia. Keadaan foetal yang dimaksudkan ini ialah kedua kakinya berlipat ke arah dada manakala tangannya pula memegang beberapa jenis daging dan ia telah dikebumikan bersama beberapa peralatan batu dan beribu-ribu kerang sungai. Hal ini menyebabkan para pengkaji yakin bahawa Perak Man ini merupakan orang yang penting di kawasan tersebut apabila dilihat kepada cara pengebumian serta peralatan yang ditemui bersama dengan rangkanya.


Melalui rangkat tulang prasejarah yang ditemui oleh para pengkaji, mereka mendapati Perak Man sebenarnya mempunyai kecacatan congenital deformity atau dikenali sebagai Brchymesophalangia dimana Perak Man memiliki tangan kiri yang lemah, satu jarinya cacat dan berjalan dengan membongkok. Namun, Perak Man menjalani kehidupan yang sihat dan dan dilihat makan makanan yang berfiber berdasarkan hasil kajian. 



Kepada yang belum pernah datang ke Galeri Arkeologi Lembah Lenggong, Hans sangat menyarankan anda datang ke galeri yang sangat cantik dan penuh dengan ilmu serta info yang cukup bermanfaat ini. Hans memang cukup teruja apabila dapat masuk dalam melihat sendiri seluruh sudut galeri ini yang bagi Hans sangat berlainan dengan galeri sejarah lain yang pernah ada di Malaysia.


Disamping melihat rangka Perak Man yang betul-betul menakjubkan, anda juga berpeluang melihat pelbagai jenis artifak lain yang cukup mengejutkan seperti kapak genggam serta peralatan-peralatan yang diperbuat daripada batu yang telah ditemui melalui hasil ekskavasi sebelum ini. Selain itu, anda juga akan menambah bilangan pelawat galeri ini yang dianggarkan sudah melebihi 17,000 orang pelawat dalam tempat enam bulan pertama di tahun 2019 ini.


Galeri Arkeologi Lembah Lenggong juga turut menawarkan beberapa aktiviti menarik buat pengunjung yang hadir ke sini seperti merasai sendiri pengalaman sewaktu proses ekskavasi dilakukan seperti pada gambar di atas. Hasilnya, Hans dan rakan media lain menemui rangka manusia di sebalik tanah tersebut. Beranikah anda? Jadi, jika nak merasai segala keseronokan yang ditawarkan di sini, pastikan anda datang ke Lenggong dan singgah ke Galeri Arkeologi Lembah Lenggong untuk melihat sendiri Perak Man dan juga pelbagai jenis artifak menarik yang anda sendiri tidak akan mampu bayangkan. Selamat melancong ke Lembah Lenggong Tapak Warisan Dunia Unesco yang cukup istimewa ini.

Post a Comment

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

Terbaru Lebih lama