Tempat Menarik Agro Pelancongan Di Perak

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Pada 12 hingga 14 Julai 2019 yang lepas, Hans berkesempatan untuk menyertai program FAM Trip Media Dan Agensi Pelancongan Bersempena Karnival Lenggong 2019. Ia adalah salah satu pengalaman yang cukup menarik untuk Hans mendapat info dan mengetahui kenapa Lembah Lenggong begitu istimewa sehingga tersenarai sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO.

1. PEMBUATAN LABU SAYONG


Perak sebenarnya kaya dengan kawasan agro pelancongan yang wajar anda kunjungi apabila datang berkunjung ke sini. Lokasi pertama yang Hans ingin kongsikan ialah tentang salah satu lokasi yang menghasilkan sebuah objek yang menjadi identiti terkenal negeri Perak iaitu labu sayong. Hans berpeluang melihat secara jelasnya pembuatan labu sayong yang memang terkenal di Kuala Kangsar, Perak. 


Kz Kraf Enterprise merupakan salah satu syarikat yang mengusahakan pembuatan labu sayong yang terkenal di Kuala Kangsar, Perak. Apa yang menariknya disini ialah selain dapat melihat dengan lebih dekat lagi pembuatan labu sayong, Hans juga berpeluang untuk membuat sendiri labu sayong serta bertanyakan pelbagai jenis soalan untuk lebih memahami tentang labu sayong.


KZ Kraf Labu Sayong turut menyediakan aktiviti menarik kepada pelancong untuk mencuba sendiri pembuatan labu sayong yang menarik. Seronok sebenarnya apabila dapat melihat secara dekat bagaimana labu sayong ini dihasilkan dari awal, cara membentuk, dikeringkan sehingga dibakar. 


Lebih menarik apabila Hans dapat melihat mesin pembakar labu sayong yang sangat besar dimana ianya digunakan disini untuk membakar labu sayong mengikut saiz yang bersesuaian dengan mesin tersebut. 


Jadi, kepada yang teringin nak tahu lebih lanjut tentang KZ Kraf, anda boleh melihat di laman web dan sosial mereka kerana terdapat pelbagai info menarik yang boleh anda ketahui.

2. LADANG MADU KELULUT


Destinasi agro pelancongan seterusnya ialah Ladang Madu Kelulut dimana Hans telah dibawa ke sini sewaktu terlibat di dalan Kembara Warisan Arkeologi Lembah Lenggong. Ia agak menarik kerana Hans melihat satu perusahaan menternak kelulut yang bagi Hans agak besar. 


Jadi, Hans berkesempatan melihat dengan lebih dekat beberapa jenis sarang yang ada disini disamping mendengar taklimat daripada pengusaha yang terlibat di dalam ternakan kelulut ini. 


Sebelum ini Hans memang pernah melihat sarang kelulut dan menghisap madu menggunakan straw kecil. Namun, istimewanya disini kerana buat pertama kali Hans dapat melihat telur kelulut yang ada di dalam sarang tersebut. Memang satu pengalaman yang sangat menarik buat Hans.


Seperti biasa Hans turut berkesempatan menikmati madu kelulut segar dari ladang ini. Setiap sarang kelulut menawarkan rasa madu yang berlainan dan Alhamdulillah madu yang Hans rasa sangat manis dan sedap. Disini juga anda boleh membeli madu kelulut yang dijual dengan harga yang murah daripada yang dijual di bandar. Paling penting madu yang dijual adalah asli, selamat dan bukannya tiruan. Memang terbaik! 


3. KEUNIKAN HOMESTAY KAMPUNG LABU KUBONG


Seterusnya, Hans telah dibawa ke Kampung Labu Kubong dimana kedatangan Hans disambut dengan persembahan silat yang cukup menarik. Makanan-makanan yang disediakan disini sangat sedap dan menyelerakan sehinggakan Hans menambah nasi dua kali. Sampai sekarang Hans masih teringatkan hidangan cendawan sisir yang disediakan yang sangat sedap dan betul-betul menyelerakan. 

 IKAN KELI
 CENDAWAN SISIR YANG SANGAT SEDAP!
 SAMBAL KELAPA

Istimewanya jika anda kesana sekarang kerana disediakan pakej Jom Makan Durian! Terima kasih buat penyelaras homestay Kg. Labu Kubong, Pak Meor serta para penduduk yang bersusah payah melayan Hans dan rakan-rakan media lain pada kunjungan kali ini. 


Memang rezeki Hans kerana dapat menikmati durian yang sedap-sedap disini. Hans rasa lebih daripada 20 ulas durian yang Hans makan sebab rasanya yang sangat sedap. Jika anda peminat durian, wajib datang untuk merasai sendiri durian disini. 


Kampung Labu Kubong ini sebenarnya terkenal kerana pada setiap tahun akan diadakan satu program yang dikenali sebagai badang dimana banyak aktiviti menarik dianjurkan seperti bermain rugbi di dalam sawah dan sebagainya. Disini juga terdapat sebuah rumah kampung yang diangkat beramai-ramai sewaktu proses pemindahan yang masih ada di tapak baru dan anda boleh lihatnya sendiri saat berkunjung kesini. 


Bagi pelancong yang meminati keindahan suasana kampung maka ini adalah lokasi yang sangat sesuai untuk anda bermalam atau tinggal dalam beberapa hari di homestay yang cantik disini bagi menikmati keindahan pemandangan sawah padi, anak sungai atau tali air dan berbagai lagi. Lebih menarik anda boleh menaiki tram untuk melihat suasana sekeliling kampung yang sangat bersih dan tersusun kemas. 


4. LADANG NENAS MD2 & MORRIS


Lokasi seterusnya yang bagi Hans cukup menarik ialah apabila Hans berpeluang melihat projek tanaman pokok nenas jenis Morris dan MD2 yang berjaya di Lenggong di ladang yang cukup luas. 


Hans juga mendapat banyak info terbaru dimana Hans baru mengetahui buah nenas boleh dituai selepas pokoknya cukup matang dalam masa setahun. Jadi, lepas nih kepada yang makan nenas tu jangan buang-buang sebab bukan senang tau buah nenas tu nak matang. Paling penting buah nenas disini mendapat sambutan yang cukup tinggi daripada masyarakat tempatan mahu pun luar negara. Tahniah!


Hans juga turut berkesempatan merasai sendiri jus nenas MD2 yang sangat manis dan sedap. Serius walaupun Hans bukannya peminat tegar nenas tetapi jus nenas dari jenis MD2 ini buat Hans terus jatuh cinta dengan rasanya yang unik dan sedap. 


5. LADANG ROCK MELON


Lokasi agro pelancongan seterusnya yang turut menarik perhatian Hans berpeluang ialah apabila melihat puluhan buah rock melon yang berjaya tumbuh subur di ladang di dalam kawasan Lenggong ini. 


Satu perkara yang menarik perhatian Hans ialah harga biji benih rock melon ini yang berharga RM0.25 untuk sebiji benih. Jadi, bayangkan bagaimana pengusaha disini memastikan pelaburan mereka berhasil dengan jumlah yang dilaburkan dan semestinya rasa buah Rock Melon ini sangat manis dan menyegarkan. 


6. LADANG RUSA DI PUSAT TERNAKAN HAIWAN LENGGONG


Lokasi agro pelancongan terakhir Hans lawati yang wajib anda kunjungi ialah melawat Pusat Ternakan Haiwan Lenggong dimana disini anda dapat melihat dan mendekati rusa secara dekat. 


Memang banyak perkara dan ilmu yang Hans peroleh tentang rusa pada lawatan kali ini. Apa yang menarik apabila Hans dapat berada berdekatan dengan rusa sambil menyentuh rusa yang jinak.


Hans juga diberi peluang untuk melihat ladang yang menempatkan 3 jenis spesis rusa iaitu Timorensis, Sambar dan Axis serta rumah gelap yang menjadi tempat rusa menerima rawatan. 


Menarik melihat sendiri keadaan rumah gelap dan bagaimana proses rusa-rusa ini dirawat disini dimana sistem bilik yang diguna pakai sangat sistematik dan kreatif. Untuk pengetahuan sana, rusa akan berasa lebih tenang apabila berada di kawasan yang gelap. 


Jadi, jika anda berkeinginan untuk melawat rumah gelap adalah sebaiknya anda bertanya atau membuat permohonan terlebih dahulu kepada pihak pengurusan disana kerana kawasan tersebut sebenarnya adalah kawasan larangan dan hanya dibuka jika ada permohonan. Tetapi, memang menarik apabila dapat kesana dan melihat ladang ternakan rusa yang sangat luas. Paling melucukan apabila rusa-rusa ini dari jauh memandang Hans dan rakan-rakan lain tanpa bergerak yang mengingatkan Hans kepada pepatah Melayu iaitu Bagai Rusa Masuk Kampung. 


Jadi, inilah antara tempat-tempat menarik Agro Pelancongan yang terdapat di Perak khususnya Lenggong yang boleh anda lawati untuk merasai sendiri pengalaman dan aktiviti menarik disini. Selamat melancong dan bercuti di kawasan Lembah Lenggong Tapak Warisan Dunia Unesco yang pastinya memberikan anda satu kenangan indah yang tidak dapat dilupakan.

Post a Comment

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

Terbaru Lebih lama