Review Filem : ...Dalam Botol



Filem:
...Dalam Botol


Pengarah:
Khir Rahman


Pelakon:
Arja Lee, Wan Raja, Diana Danielle, Normah Damanhuri,
Fauziah Ahmad Daud, Jalil Hamid & Etc.


Sinopsis:

Rubidin atau lebih dikenali sebagai Ruby merupakan seorang jejaka yang mencintai pasangan sejenisnya iaitu Ghaus sehingga sanggup melakukan pembedahan jantina semata - mata untuk menunjukkan rasa cintanya terhadap Ghaus. Namun, apa yang cuba dibuktikan oleh Ruby itu akhirnya membawa padah pada dirinya sendiri apabila perubahan fizikal dirinya tidak dapat diterima oleh Ghaus. Selepas ayah Ruby meninggal maka dia kembali menjadi seorang lelaki dan tanpa disedari dia mulai jatuh cinta dengan Dina iaitu anak perempuan Makcik Sherry. Namun, Rubidin dalam dilema kerana bagaimana dia mampu untuk membahagiakan Dina jika mereka berdua berkahwin sedangkan beliau bukannya lagi Rubidin yang dahulu.


Ulasan:

Filem ini bermula dengan sisi gelap yang sentiasa menghujani aku dengan pelbagai persoalan yang akan dileraikan satu persatu pada setiap babak yang disusun mengikut kronologi. Susuk tubuh Arja Lee ketika melakonkan watak Ruby agak kaku tetapi Arja Lee memberikan nyawa yang cukup untuk menghidupkan watak Rubidin yang hebat bermain dengan emosi. Kelemahannya disini ialah watak Ruby yang telah melakukan pembedahan jantina itu dipertontonkan kepada penonton tanpa menunjukkan walau sedikit pun kesan kesakitan kerana seperti mana kita tahu melakukan pembedahan jantina terutama dengan membuang alat sulit boleh membawa pelbagai komplikasi kepada individu yang terlibat tetapi di dalam filem ini aku tidak dapat melihat kesan itu.


 Bahasa Tubuh Ruby Kurang Menjadi


Namun, watak Rubidin yang banyak bermain dengan emosi telah menyelamatkan perjalanan filem ini. Aku berjaya melihat seorang jejaka yang terasa penuh kekesalan gara - gara terlalu mengikut naluri dan nafsu. Aku dapat merasai betapa teruknya penderitaan yang dilalui oleh Rubidin sewaktu beliau mulai jatuh cinta dengan gadis kampung yang lemah lembut dan baik hati iaitu Dina dan bagaimana keputusan yang diambilnya sewaktu majlis perkahwinan beliau dengan Dina.


 Kekeliruan Rubidin dan Dina


Filem ini bermula perlahan dan mengajak aku berfikir tanpa perlu dibantu oleh muzik latar. Penonton akan berasa sedih dengan sendiri jika babak itu bermain dengan emosi dan babak akhir filem ini memberi impak yang amat kuat pada aku. Tahniah kepada pengarah filem ini iaitu Khir Rahman kerana hasil tangannya ini telah memberi satu sinar baru pada perjalanan filem Malaysia. Mungkin sedikit masa lagi dan jika Khir Rahman diberi lebih peluang untuk terlibat dalam pengarahan filem maka tidak mustahil hasilnya nanti akan setaraf dengan karya Yasmin Ahmad atau pun lebih hebat daripada itu. Insyaallah!


Aku Suka Dengan Emosi Filem Ini


Apa - apapun, filem ini sangat menarik untuk ditonton jika anda adalah penonton yang suka berfikir kerana jika anda adalah jenis penonton yang lebih gemar disuap sepanjang masa memang filem ini mampu membuatkan anda tertidur tanpa anda sedar. Filem ini sebenarnya lebih daripada pandangan skeptikal yang diperkatakan sebelum ini iaitu kisah cinta sejenis kerana ia hanya meliputi 5 peratus sahaja daripada apa yang cuba disampaikan di dalam filem ini. Memang ada beberapa perkara yang aku kurang berkenan atau setuju tetapi filem ini masih boleh dikatakan berada pada landasan yang terbaik di dalam kategorinya walaupun masih banyak yang boleh dibaiki. Apa - apapun, selamat menonton kepada sesiapa yang masih belum menonton.



P/S : Adegan Ogy Dan Diana Danielle Pada Babak Akhir Filem Ini Sangat Hebat!

6 Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

Catat Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

Terbaru Lebih lama