Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Baru-baru ini Hans telah terlibat di dalam Program Familiarization Fam Trip yang berlangsung pada 29 hingga 31 Oktober 2019 di daerah Selama, Perak. Jadi, sepanjang tiga hari dua malam Hans berada di bumi Perak ini sememangnya menghadiahkan Hans pelbagai pengalaman menarik yang membuatkan Hans ingin berkongsikan segala perkara manis ini dengan anda semua yang merupakan pembaca setia blog ini.
Untuk makluman para pembaca, daerah Selama kini semakin dikenali disebabkan keindahan semula jadi yang terdapat pada lata-lata yang ada di sekitar kawasan ini. Setakat ini terdapat tujuh lata yang telah mulai dikomersialkan sebagai satu tarikan pelancongan buat para pengunjung untuk datang ke Selama.
Jadi, aktiviti hari kedua Hans sempena Program Familiarization Fam Trip ini ialah melawat salah sebuah lata yang pada Hans sangat cantik dan menakjubkan iaitu Lata Puteh. Terus-terang cakap Lata Puteh memberikan cabaran yang agak tinggi kepada Hans sewaktu melakukan aktiviti trekking menuju ke kawasan air terjun yang indah di atas Lata Puteh tersebut.
Daripada bawah tempat Hans dan rakan-rakan lain memulakan aktiviti dengan bacaan doa memang nampak sayup-sayup sahaja air terjun Lata Puteh dekat atas tu. Nasib lah Hans sarapan pagi banyak tadi jadi memang Hans yakin mempunyai tenaga yang cukup untuk tiba ke atas dengan selambanya. Angkuh pula bunyinya kan? Hahaha!
Jadi, bermulakan langkah Hans dan yang lain menuju ke atas. Memang laluan untuk ke atas sangat mencabar kerana tidak ada satu laluan pun yang landai. Semua laluan berbentuk curam 45 darjah yang memberikan satu cabaran yang agak hebat lah buat Hans. Nak dijadikan cerita memang mata Hans sangat tajam memerhati sekeliling pepohon dan pokok di sekitar kawasan tapak kaki. Jadi, ternampak lah pacat-pacat hutan yang gemuk dan bersaiz seakan-akan mee melintas di hadapan kasut Hans. Alhamdulillah daripada awal sehingga akhir memang tiada seekor pun pacat yang melekat di kaki mahu pun tangan. Tips utama ialah jangan memakai pewangi untuk mengelakkan pacat tertarik untuk mendekati kita. Tetapi, kalau anda pakai pewangi pun macam tak berapa berguna juga lah sebab mesti wangian itu hilang dan digantikan dengan peluh sebab tinggi dan jauh laluan untuk ke Lata Puteh ini.
Apa yang kelakarnya sepanjang lebih kurang satu jam masa yang diambil untuk naik ke atas, Hans telah berhenti sebanyak lima kali untuk melepaskan lelah. Empat kali perhentian Hans itu penuh dengan penyesalan disebabkan rasa penat menaiki laluan ke Lata Puteh yang bersifat 45 darjah di sepanjang laluan. Tidak ada kawasan yang landai atau rata jadi ia memerlukan kudrat tenaga yang lebih untuk orang seperti Hans yang jarang bersukan ini. Gambar di atas membuktikan yang Hans tidak mampu untuk menunjukkan wajah tidak letih saat gambar ini diambil. Hahaha!
Namun, pemandangan di bahagian pertengahan laluan seakan-akan memberi satu kekuatan baru buat Hans untuk terus berusaha menempuh cabaran untuk sampai ke puncak air terjun Lata Puteh. Sangat geram melihat limpahan air yang jernih memutih dan segar menuruni kawasan batu seperti pada gambar di atas.
Alhamdulillah! Hans masih bertenaga dan tidak tersenarai sebagai orang yang paling terbelakang di dalam perjalanan naik ke atas kerana insan di dalam gambar di atas merupakan antara yang paling belakang. Hahaha! Tetapi, bagus kerana sifat tidak pernah putus asa itu sentiasa wujud sehingga akhirnya semua yang terlibat di dalam penggembaraan ke atas berjaya menghabiskan cabaran yang dilalui. Tahniah buat semua!
Percayalah perhentian terakhir Hans berakhir dengan seribu satu kegembiraan dimana segala kepenatan dan keletihan hilang serta-merta apabila melihat keindahan kawasan air terjun di Lata Puteh. Serius Hans sangat bersyukur sebab tidak berputus asa untuk cuba naik sehingga ke atas. Subhanallah! Cantik sangat alam semula jadi ciptaan Allah S.W.T ini.
Alhamdulillah! Hans memang puas hati dapat berada di kawasan air terjun Lata Puteh ini. Satu pengalaman indah yang Hans tidak akan lupakan terutama apabila dapat menghayati keindahan alam dengan tenang tanpa sebarang gangguan. Memandangkan Lata Puteh masih belum dikomersialkan sepenuhnya lagi sebagai tarikan pelancongan yang utama atau berbayar maka Hans mengharapkan agar pihak Majlis Daerah Selama, Tourism Perak serta Tourism Malaysia agar mengambil langkah-langkah awal untuk membendung sebarang kerosakan atau kekotoran daripada terjadi di kemudian hari. Sedih jika satu hari nanti apabila Lata Puteh dikunjungi oleh ramai pelancongan maka nasibnya akan berakhir seperti mana kawasan-kawasan lain di Malaysia yang kotor atau tercemar gara-gara kelemahan penguatkuasaan. Semoga keindahan Lata Puteh akan sentiasa terpelihara seperti mana yang Hans lihat sebelum ini.
Terpegun Hans Apabila Tengok Sendiri Keindahan Ini Di Hadapan Mata!
Tunggu Lagi? Harus Lah Bergambar Tunjuk Bukti Dekat Rakyat Jelata! Hahaha!
Antara Individu Yang Terlalu Teruja Dapat Sampai Ke Atas!
Tengok Apa Tu Bang?
Memang Gaya Terkini Ambil Gambar Kena Tengok Atas Rasanya!
Bukti Hans Telah Tiba Di Lata Puteh! Kalau Tak Kongsi Nanti Orang Ingat Kita Menipu Pula! Haha!
Jika ada sebarang pertanyaan berkaitan Lata Puteh atau aktiviti pelancongan di Selama, anda boleh hubungi Urusetia Unit Pelancongan Majlis Daerah Selama seperti dibawah:
Telefon:
010 3714548 (En. Razif)
0195217385 (En. Rofizlan)
Pejabat:
05-8394201/2021 ext 119/120/121
Faks:
05-8394377
Jadi, kepada sesiapa yang berminat untuk merasai pengalaman menarik dan indah seperti mana yang Hans rasakan saat tiba di kawasan air terjun Lata Puteh, silalah berkunjung ke Selama, Perak dengan secepat yang mungkin. Sumpah memang seronok gila apabila anda berada di atas menyaksikan keindahan air terjun serta pelangi yang terhasil disebalik percikan air yang menghentam batu-batu di sekeliling. Selamat berkunjung ke Lata Puteh!
P/S : Lokasi Menarik Lain Yang Boleh Anda Baca Sepanjang Program Familiarization Fam Trip Selama Perak Adalah Dengan Melihat Pada Pautan Artikel Ini : 10 LOKASI MENARIK DI SELAMA PERAK YANG BOLEH ANDA PERGI
i miss doing this
BalasPadamowh
Padampernah naik ke atas dah yer?
Catat Ulasan
Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com