Annah Rais Longhouse Kuching Sarawak

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Pada 22 hingga 24 November 2019 yang lepas, Hans telah berkesempatan menyertai satu program menarik anjuran Tourism Malaysia Sentral dengan kerjasama Malaysia Airlines dan Sarawak Tourism Board dengan melawat daerah Kuching, Sarawak. Jadi, sepanjang tiga hari dua malam Hans berada di bumi Sarawak ini sememangnya menawarkan Hans pelbagai pengalaman menarik yang cukup menakjubkan. Tambahan pula ini adalah kunjungan kali pertama Hans ke negeri Sarawak. Jadi, sememangnya Hans betul-betul teruja untuk mengetahui apakah lokasi pelancongan menarik yang menanti Hans di sekitar Kuching ini.


Jadi, lokasi tarikan pelancongan seterusnya yang ditawarkan di Kuching yang Hans telah lawati pada hari kedua pula ialah Annah Rais Longhouse Sarawak atau dalam bahasa Melayu ialah Rumah Panjang Annah Rais yang terletak di Kuching, Sarawak. Kepada sesiapa yang masih tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan rumah panjang ini, ia sebenarnya merupakan sebuah rumah tradisional masyarakat Sarawak dimana penduduk kampung akan tinggal di dalam satu rumah ini bersama-sama seperti sebuah keluarga besar tetapi dibezakan melalui bilik-bilik yang mewakili setiap keluarga tersebut. Unik bukan?


Hans turut dimaklumkan bahawa Rumah Panjang Annah Rais ini diduduki oleh masyarakat kaum Bidayuh dan merupakan rumah panjang yang paling panjang di Sarawak. Hal ini juga membuatkan Rumah Panjang Annah Rais ini sentiasa menjadi tarikan para pelancong yang berkunjung ke Sarawak terutamanya di Kuching. Selalunya, kehadiran pelancong akan disambut dengan tarian tradisonal Sarawak tetapi ia bergantung kepada nasib anda kerana tarian dipersembahkan pada hari atau waktu tertentu sahaja. Sayangnya Hans tidak bernasib baik pada kunjungan kali pertama ini kerana tidak berpeluang melihat tarian tradisional masyarakat Bidayuh.


Seperti biasa, kehadiran pelancong ke sini semestinya akan dihidangkan dengan minuman tuak buatan masyarakat disini sendiri. Bagi pelancong Muslim semestinya kita tidak boleh menikmati hidangan ini dan hal ini telah difahami oleh masyarakat disini. Kebetulan terdapat rakan media Hans yang bukan Muslim maka mereka dapat menikmati hidangan tuak yang disediakan. Bau minuman tuak ini memang kuat dan menurut rakan Hans rasanya juga agak keras. Keras macam mana tu? Wallahualam! Hahaha!


Rumah Panjang Annah Rais ini mulai dibina pada tahun 1818 dimana kini usia perkampungan ini sudah mencecah lebih 200 tahun. Bermula dengan hanya tiga pintu dan kini melebihi 150 pintu, rumah panjang yang diduduki lebih 1500 penduduk ini menjadi kebanggaan masyarakat Bidayuh terutama apabila ianya dilengkapi dengan kemudahan asas seperti elektrik serta bekalan air yang bersih. 


Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan Rumah Panjang Annah Rais ini telah mengalami revolusi kemodenan walaupun tidak secara keseluruhan dimana terdapat sebahagian besar masyarakat Bidayuh disini yang melakukan beberapa pengubahsuaian terhadap lantai, dinding dan atap rumah. Ada juga sebahagian daripada mereka yang kini sudah tidak lagi menggunakan dapur kayu di luar rumah sebaliknya menggunakan dapur gas yang lebih memudahkan dan menjimatkan masa untuk memasak.


Salah satu lokasi yang wajib anda singgah sepanjang melawat Rumah Panjang Annah Rais ini ialah The Headhouse atau Panggah dimana disini disimpan berbelas-belas tengkorak yang sudah berusia ratusan tahun namun masih berada di dalam keadaan baik. Tengkorak-tengkorak ini sebenarnya diperoleh berdasarkan tradisi Ngayau yang sangat popular di kalangan masyarakat Malaysia sebagai tradisi memburu atau memotong kepala yang yang menjadi amalan masyarakat Iban pada suatu ketika dahulu. Tengkorak yang dikumpulkan ini juga melambangkan martabat serta semangat keberanian dan kekuasaan yang terdapat di dalam diri pemilik yang menyimpan tengkorak ini pada zaman tersebut. Semakin banyak tengkorak yang disimpan maka semakin tinggi pemilik tersebut mendapat penghormatan.


Dan jika mengikut kepercayaan masyarakat disini pula, tengkorak-tengkorak ini disimpan sebagai penjaga kepada rumah panjang serta penghuninya daripada gangguan anasir jahat serta turut menjadi bahan penting untuk digunakan dalam perayaan atau upacara tertentu yang berlangsung di sekitar kawasan Rumah Panjang Annah Rais ini. Jadi, disebabkan itu anda boleh lihat pada gambar di atas dimana terdapat rokok serta wang syiling yang diletakkan di bawah tengkorak-tengkorak ini disimpan dimana rokok akan dibakar untuk mengasapkan tengkorak-tengkorak tersebut. Memang menarik dan menyeronokkan buat Hans sebab dapat melihat sendiri tengkorak di hadapan mata.


Salah satu perkara yang menarik perhatian Hans sepanjang berjalan di Rumah Panjang Annah Rais yang mempunyai lebih 150 pintu ini ialah hampir kebanyakan rumah penduduk kampung akan menjemur hasil pertanian mereka seperti lada hitam, beras borneo dan jagung. Apa yang lebih unik ialah apabila melihat susunan jagung mereka yang disusun mengikut aturan warna yang sangat kreatif. Untuk pengetahuan semua, penduduk disini memanggil proses mengeringkan lada sebagai 'awah' dan lada ini juga turut dijual kepada pengunjung disini.


Mengikut pengalaman rakan Hans yang pernah datang dan menginap sendiri di perkampungan rumah panjang ini, suatu ketika dahulu kawasan ini dipenuhi dengan babi hutan yang berada di bawah rumah. Namun, arus modenisasi nampaknya telah mengubah suasana rumah panjang disini kerana sepanjang kehadiran Hans, tidak pula kelihatan langsung babi hutan atau babi yang diternak dibawah rumah. Sebaliknya, Rumah Panjang Annah Rais ini dipenuhi oleh puluhan ekor kucing yang comel-comel belaka. 


Seperti biasa, kebanyakkan penduduk Rumah Panjang Annah Rais akan menjual pelbagai barangan cenderahati yang diperbuat daripada manik seperti rantai, gelang dan topi di hadapan rumah mereka. Memang banyak pilihan yang ada dan pasti buat anda geram nak membeli terutama wanita.


Penduduk Rumah Panjang Annah Rais juga ada menjual kerepek dimana anda boleh melihat sendiri pembuatan kerepek tersebut dan bagaimana ianya dihasilkan. Memang nampak menarik.


Kalau sesiapa yang mengenali Hans pasti tahu Hans sangat berani untuk mencuba sesuatu makanan yang belum pernah dilihat atau pelik. Janji makanan tersebut halal! Antara yang mencuri tumpuan Hans ialah salah satu jenis buah yang dijual oleh penduduk Rumah Panjang Annah Rais ini iaitu buah kristal atau turut juga dipanggil sebagai kasai, matoa dan buah tiga rasa. Kulit buah kristal ini memang keras tetapi ada cara macam mana nak membukanya. Kalau dah tahu cara memang senang sangat nak makan buah kristal ini. Rasanya sangat unik dimana Hans seperti menikmati rambutan, laici dan kelapa dalam satu masa. Sedap gila weh! Masa datang dekat sini Hans memang agak menyesal sebab tak beli buah nih awal-awal sebab ingatkan lepas selesai melawat Rumah Panjang Annah Rais ini, Hans akan berpatah balik ke tempat mula-mula Hans sampai. Sekali van sudah menanti di kawasan akhir lawatan Hans di rumah ini. Apakan daya! Hahaha!


Rumah Panjang Annah Rais juga adalah syurga bagi manusia yang cintakan hasil kreativiti lukisan mural mahu pun kepada mereka yang suka mengambil gambat atau berswafoto. Terdapat beberapa lukisan mural yang sangat cantik dan kreatif yang pastinya membuatkan anda tidak dapat lari daripada keinginan untuk bergambar atau mengambil gambar lukisan-lukisan yang terdapat di sepanjang perkampungan rumah panjang ini.


Selain itu, Hans juga turut dihiburkan dengan alunan merdu yang dihasilkan daripada sebuah alat muzik tradisional masyarakat Sarawak iaitu Silatong yang diperbuat daripada buluh. Alat muzik Silatong ini dimainkan oleh Mr Rambo seperti yang anda boleh lihat pada gambar di atas. Alunan irama yang terhasil sememangnya sangat merdu dan membuatkan Hans asyik melayan sehingga selesai permainan ini dimainkan. 


Kehadiran Hans di Rumah Panjang Annah Rais juga memberikan Hans peluang untuk melihat ruang dalaman rumah panjang masyarakat Bidayuh ini. Terdapat beberapa bahagian yang anda boleh lihat seperti dapur, ruang tamu, tempat tidur dan sebagainya. Satu perkara yang paling menarik ialah reka bentuk tanggannya yang sangat halus dan hanya muat untuk sebelah kaki sahaja. Tengok orang Bidayuh naik guna tangga itu sangat senang. Hans nak naik punyalah menggeletar kaki sebab licin dan halus sahaja ruang untuk tapak kaki. Hahaha!


Jadi, ini adalah pengalaman Hans sepanjang melawat Rumah Panjang Annah Rais yang terletak di Kuching, Sarawak. Kepada sesiapa yang berkunjung ke Kuching\ maka sudi-sudikan lah diri anda untuk datang menjejakkan kaki di Rumah Panjang Annah Rais atau terkenal di kalangan pengunjung luar negara dengan nama Annah Rais Longhouse Kuching Sarawak ini. Jangan lepaskan peluang kerana memang banyak perkara menarik yang ditawarkan di sini. Jom ke Kuching,Sarawak!

P/S : Lokasi Menarik Lain Yang Boleh Anda Baca Sepanjang Program Lawatan Di Kuching, Sawarak Boleh Dilihat Pada Pautan Artikel Ini : 

4 Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

  1. waalaikumussalam. alhamdulillah menarik nya dapat pi ke sarawak ^_^

    BalasPadam
  2. Balasan
    1. terima kasih
      semoga bermanfaat dan membantu menambah ilmu pembaca

      Padam

Catat Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

Terbaru Lebih lama