Assalammualaikum semua! Lama tak berkongsi tentang pengalaman peribadi dalam pekerjaan Hans sebagai seorang penulis skrip. Jadi, untuk pengalaman seterusnya ini, Hans akan kongsikan lagi antara program-program televisyen yang Hans terlibat di belakang tabir sebagai penulis skrip.
Program televisyen seterusnya yang Hans terlibat ini agak istimewa dan dekat di hati Hans. Program Legasi Luar Biasa yang ditayangkan bermula pada 16 Mei 2018 bersamaan bulan Ramadan di saluran Astro Oasis ini menampilkan 10 ikon rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan sangat berjiwa besar di dalam membantu komuniti atau penduduk setempat. Antara ikon-ikon yang tersenarai di dalam program ini ialah Datin Paduka Sabariah Hussein, Puan Mimi Liana Nasharuddin, Y.M Raja Shamri Raja Hussin, Puan Azila Aziz, Dr Wan Abdul Hannan dan ramai lagi. Ini juga merupakan pertama kali Hans bekerja secara berpasukan dengan Kengkawan Projek dan juga kumpulan editor dimana ini adalah antara pasukan kerja yang Hans sangat gembira untuk bekerjasama. Rasa sangat selesa, tenang dan dihargai! Memang terbaik!
Menariknya antara 10 ikon hebat ini, terdapat seorang doktor yang sangat aktif dan hebat di dalam membantu bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi juga rakyat luar negara dengan membuka sebuah Hospital Beyond Boundaries di Phnom Penh, Kemboja. Jadi, rezeki Hans dapat berkunjung lagi ke Kemboja buat kali ketiga. Hahaha! Cuma kunjungan kali ini membuka mata Hans tentang sisi-sisi lain masyarakat Islam di Kemboja ini sama ada dalam bentuk positif mahu pun negatif. Anda boleh membaca tentang artikel hospital tersebut sebab ada banyak info menarik yang pastinya mengejutkan anda.
Banyak sebenarnya momen menarik sewaktu terlibat di dalam penggambaran program Legasi Luar Biasa ini tetapi pengalaman yang sehingga kini sukar untuk dilupakan adalah di Kemboja. Gambar di atas ini merupakan tempat sebahagian keluarga Muslim Kemboja yang tinggal di tepi sungai dan di atas bot atau sampan. Jadi, selain daripada rasa simpati, sedih dan bermuhasabah diri melihat kehidupan mereka disini, Hans juga turut tidak terlepas daripada diuji apabila terpijak najis manusia disini. Ya Allah! Trauma juga lah masa tu! Hahaha! Tetapi, itulah pengalaman yang bagi Hans walaupun menggelikan tetapi agak berharga lah apabila diingat semula.
Program televisyen seterusnya yang Hans terlibat ini memang sangat istimewa. Ini adalah program yang paling menggembirakan rohani dan jasmani Hans sepanjang bekerja sebagai penulis skrip iaitu Langkah Kerdil Menuju Baitullah. Hans terlibat di dalam merakam perjalanan dan usaha ahli-ahli Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia di dalam merealisasikan impian mereka untuk menjalankan ibadah umrah buat pertama kalinya dalam hidup masing-masing. Ikutkan memang banyak perkara menarik terjadi dan mungkin coretan Hans untuk pengalaman kali ini agak panjang sedikit. Hehehe!
Menariknya kerana program ini secara tidak langsung memberi peluang kepada Hans untuk menunaikan umrah buat kali kedua. Lebih istimewa kerana ini merupakan kali pertama Hans melihat begitu ramai orang kerdil di hadapan Hans dan membuatkan Hans cukup teruja untuk melihat adakah terdapat perbezaan atau cabaran tertentu yang perlu diharungi oleh mereka di Tanah Suci nanti yang mungkin berbeza jika dibandingkan dengan mereka yang sempurna dari sudut fizikal. Alhamdulillah kursus umrah, penilaian kesihatan dan juga pengambilan vaksin semua jemaah berjalan dengan sangat lancar. Allah memang betul-betul memudahkan urusan mereka semua.
Hans secara peribadi berasa sangat gembira dengan usaha Kengkawan Projek yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan dana bagi membantu ahli-ahli Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia ini menunaikan umrah. Sedih sangat bila Hans tengok ramai daripada kalangan orang kerdil ini menangis kegembiraan saat menjejakkan kaki di bumi Madinah dan juga Mekah. Serius momen tersebut sangat mahal dan berharga buat Hans.
Jadi, pelbagai aktiviti menarik yang telah dirancang sama ada dari sudut ibadah, sejarah mahu pun membeli-belah. Jangan ingat orang kerdil tak beli barang yer! Mereka pun boleh tahan juga dalam membeli pelbagai buah tangan. Maklumlah sanak saudara pesan macam-macam kan. Hahaha! Tetapi, satu keunikan yang ada pada mereka ini ialah mereka menjadi tumpuan ramai orang disana. Tidak kira sama ada mereka berada di Madinah mahu pun di Mekah, ribuan mata sering memandang mereka dengan penuh rasa gembira dan teruja. Hans semasa disana sering kali memberi satu perumpaan ini untuk orang lebih faham apa maksud yang Hans katakan tadi,"Kalau kau letak Fattah Amin dan minta dia jalan sebelah kiri. Kemudian kau letak jemaah kerdil ini dan minta mereka jalan sebelah kanan! Penduduk-penduduk dekat sini memang akan pandang kanan. Mereka tak akan pandang langsung Fattah Amin." Ibaratnya status kegemilangan Fattah Amin telah bertukar tangan kepada jemaah-jemaah kerdil ini. Senang cakap macam mana anda tengok anak-anak muda Malaysia minat kepada artis Korea, begitulah yang dialami oleh jemaah kerdil ini disana.
Rupa-rupanya majoriti orang Arab memang suka tengok orang kerdil ini. Tambahan pula mereka tidak pernah menyaksikan sekumpulan orang kerdil yang di dalam jumlah melebihi 20 orang berjalan bersama di dalam satu kumpulan dengan mata sendiri sebelum ini. Jadi, jemaah-jemaah kerdil dari Malaysia ini memang Hans boleh cakap dah macam artis dah dekat sana. Hahaha! Mereka memang kerap kali akan ditahan untuk bergambar! Ada yang suka peluk dan gomol-gomol muka dan pipi mereka. Bayangkan betapa tidak selesanya mereka diperlakukan macam tu. Maklumlah jemaah-jemaah kerdil ini majoriti umur mereka adalah 40 tahun dan ke atas tetapi diperlakukan seperti kanak-kanak. Memang tak selesa lah kan? Hehehe!
Tetapi, kekuasaan Allah itu memang sangat jelas kelihatan di Tanah Suci ini. Urusan ibadah jemaah-jemaah kerdil dari Malaysia ini dipermudahkan dalam segala sudut. Mereka sentiasa dapat peluang untuk bersolat di kawasan Raudhah di dalam Masjid Nabawi. Hans dan krew produksi juga alhamdulillah diberi kesempatan emas tersebut tetapi kami memang perlu merancang dan bijak merebut peluang bila ada kesempatan. Tetapi, jemaah-jemaah kerdil yang suci ini tidak yer! Tahu-tahu sahaja dah ada dekat kawasan Raudhah. Seolah-olah mereka macam dapat layan VVIP walaupun hakikatnya tidak. Sangat menakjubkan dan memberi kesan sebenarnya kepada Hans apabila melihat Allah mengangkat mereka ini di rumahnya! Cukup terharu!
Mereka juga dapat menunaikan solat di dalam Hijir Ismail di hadapan Kaabah dengan cukup mudah. Momen ini memang menarik kerana hampir semua krew produksi dan ahli Kengkawan Projek yang terlibat di dalam usaha untuk merealisasikan impian jemaah kerdil ini untuk bersolat di kawasan tersebut menangis tanpa sedar selepas kami berjaya membuat satu bulatan dan memberi peluang kepada jemaah-jemaah kerdil ini untuk bersolat di dalam ruang bulatan tersebut. Walaupun ada jemaah dari negara-negara lain yang bersikap kasar dan tidak mempedulikan kepala-kepala jemaah yang bersujud disitu namun alhamdulillah jemaah-jemaah kerdil Malaysia ini dilindungi oleh Allah daripada kena pijak dengan jemaah lain sewaktu bersujud. Macam mana lah hati-hati krew produksi yang terlibat tidak tersentuh melihat kejadian sebegini depan mata. Memang laju air mata masing-masing mengalir terharu dalam kegembiraan. Hans seorang sahaja yang tidak menangis pada waktu tersebut. Bukannya nak kata jiwa kental tetapi Hans ini sejenis manusia yang susah sikit nak menangis. Hahaha! Tetapi, secara jujur Hans memang sangat tersentuh melihat keajaiban yang terjadi di depan mata.
Seronok sangat bila melihat keazaman dan kekuatan jemaah-jemaah kerdil ini tidak kira yang lelaki mahu pun wanita sewaktu mereka melakukan umrah. Ada dalam satu hari tersebut kalau tidak silap hujan di Mekah atau orang terlampau ramai di depan Kaabah (Hans lupa sebab tahun 2018 kan. Hahaha!) dimana kami semua termasuk jemaah kerdil ini perlu tawaf di bahagian masjid yang baru siap. Jadi, perbezaan jarak tawaf itu memang sangat berbeza. Jika tawaf di kawasan hadapan Kaabah memang masa yang diambil untuk selesaikan tawaf tidak lama. Tetapi, di kawasan tawaf masjid yang baru dibuat ini, panjang pusingan menjadi berbelas ganda jauhnya dan memang Hans sendiri akui agak penat untuk menghabiskan pusingan tawaf tersebut. Tetapi, stamina jemaah kerdil ini memang lain macam yer! Tak nampak langsung kepenatan di wajah mereka. Apa yang Hans lihat ialah mereka sangat menghargai peluang yang mereka dapat untuk menunaikan umrah dan menggunakannya dengan sebaik yang mungkin. Hans memang sangat kagum dengan semangat dan kesungguhan ahli-ahli Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia yang terlibat di dalam umrah ini.
Banyak lagi sebenarnya perkara menarik yang berlaku disini cuma biarlah ia menjadi kenangan untuk diri Hans sendiri sahaja. Namun, Hans memang sangat gembira diberi peluang dan rezeki untuk terlibat di dalam program Langkah Kerdil Menuju Baitullah ini. Banyak sangat perkara baik yang Hans belajar. Banyak benda yang buat Hans rasa sangat bersyukur. Program yang paling menenangkan jiwa Hans! Setiap hari dilalui dengan rasa gembira dan syukur yang tidak terhingga. Semoga ada rezeki untuk dapat lagi buat program seumpama ini. Doakan untuk Hans yer!
Jadi, setakat ini dulu perkongsian pengalaman Hans sebagai seorang penulis skrip. Selepas ini Hans akan berkongsi pengalaman seterusnya di dalam bahagian keenam pula. Banyak lagi program-program televisyen yang menarik dan buatkan Hans tak sabar nak kongsikan dengan para pembaca sekalian. Doakan rezeki Hans dapat buat banyak lagi program-program yang menarik dan hebat. Assalammualaikum!
SUBHANALLAH TERUJA MEMBACA N3 HANS TKSH PERKONGSIANNYA
BalasPadamterima kasih sudi baca
Padamnanti Hans sambung pengalaman dengan program lain pula
hehehe
Rabia singgah sini
BalasPadamterima kasih
Padambyaknya pengalaman yg menarik... semoga suatu hari nti sy juga dapat menjejakkan kaki ke mekah/ madinah
BalasPadamCatat Ulasan
Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com