Sesiapa yang pernah mengikuti blog aku dari zaman aku mumaiyiz sampai dah dewasa kacak macam sekarang nih mesti tahu yang aku teringin bebenar nak melancong ke negara Brunei Darussalam. Kalau tak percaya boleh tengok entry yang aku pernah tulis pada 9 Januari 2011 di sini SIAPA YANG PERNAH PERGI BRUNEI?.
Jadi, alhamdulillah semua itu tercapai pada bulan Julai 2016 yang lepas yang jatuh pada tarikh hari lahir dimana tiket yang aku beli sejak tahun 2015 ini akhirnya berjaya merealisasikan impian aku dari zaman kanak-kanak lagi. Asalnya yang nak sangat pergi Brunei nih sebab sebelum akil baligh dulu pernah bercintan-cintun dengan awek dari Brunei yang tinggal dekat Kuala Belait. Hahahaha!
Jadi, bila dah beli tiket setahun awal dan ditakdirkan begitu ramai rakyat Brunei yang sangat baik hati dan dermawan yang nak tolong aku bila aku ke sana. Ada yang nak jadi pemandu pelancong secara percuma. Ada yang nak taja kenderaan dan makan. Ada yang nak taja kesemuanya daripada tempat tinggal, makan sampai lah kos-kos melancong yang lain. Pada awalnya memang lah takut kan. Gila tak takut kau! Aku tak kenal pun dengan mereka tapi kenapa mereka baik sangat nih? Ini kalau dekat Malaysia alamatnya memang kena culik lah jawabnya. Hahaha! Tetapi, sememangnya orang-orang Brunei nih memang ikhlas dan suka bila orang Malaysia nak datang ke sana. Dalam tempoh setahun tu dalam lima orang yang email dan kemudian whatsapps aku.
Dalam ramai-ramai ini akhirnya rezeki aku berjumpa dengan seorang Tuan Haji nih. Memang dah sebaya ayah aku dah. Tuan Haji nih pun dah anggap aku macam anak angkat dah. Dia punya semangat nak aku datang. Semua dia dah siap tempahkan dah. Tunggu aku sampai sana saja. Dalam hati nih seronok tu seronok lah juga sebab memang tersangatlah jimatnya duit sebab semua dah disediakan tetapi bohong lah kalau kata tak segan dan tak malu. Gila segan weh! Hahahaha!
Dan yang paling penting, inilah satu-satu pengembaraan aku yang aku pergi seorang diri. Dah semua kawan aku tak nak pergi. Mana tak nya kalau dah 4 hari 3 malam aku dekat sana. Hahahaha! Mak aku punya lah risau tak terkata tapi aku cakap jangan risau lah sebab Brunei sebuah negara yang selamat dan bila dah sampai terbukti memang selamat dan menenangkan. Alhamdulillah yang penting aku berjaya pergi seorang diri. Hahahaha!
Saat menjejakkan kaki di negara Brunei Darussalam. Jenguk-jenguk luar nampak kapal terbang warna kuning yang mewah tu. Masa nih berdebar-debar juga bila fikir kalau Tuan Haji tak datang jemput aku....mati kutu lah aku nanti! Hahaha!
Macam pergi Kelantan lah bila tengok papan tanda ada tulisan jawi. Suasana dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei nih tak lah sesibuk macam KLIA ke atau LCCT tu. Damai jer dan bersih.
Suasana masa beratur nak lepas masuk dalam. Pegawai-pegawai dekat sini alhamdulillah mesra. Risau juga aku kalau dapat macam dekat Kemboja ker Thailand ker. Garang nak mampus! Hahaha!
Asalnya ramai juga menunggu dekat sini tapi masa tu aku tak ada pula ambil gambar. Bila seorang-seorang nih tiba-tiba jadi jejaka pemalu pula. Kalau ada paling kurang seorang geng tu rasanya tak ada lah segan sangat nak ambil gambar. Hahahaha!
Masa nih abang botak sebab baru balik umrah. Rambut baru-baru nak tumbuh. Aku sebenarnya dah lama tinggal tabiat selfie nih tapi bila berjalan-jalan nih sifat tu muncul secara semula jadi. Masa nih Tuan Haji dari Brunei tak sampai lagi.
Alhamdulillah Tuan Haji dah sampai dan bawa aku pergi surau sebelah lapangan terbang nih dulu untuk solat. Cantik bebenar surau depa. Ini kalau dekat Malaysia dah boleh kata tahap-tahap masjid dah nih. Masa mula-mula jumpa Tuan Haji tu aku tersangatlah kekok. Mahu tak nya! Dia sebaya ayah aku kut. Kalau umur saing-saing aku boleh lah cakap Bro! Bro! Lu! Gua! Hahahaha!
Selamat Datang Ke Negara Brunei Darussalam!
Destinasi hari pertama ialah menuju ke Bandar Gadong. Dekat sini yang istimewa bagi aku sebab ada Pasar Malam Gadong dengan tempat nak beli cenderahati yang murah-murah. Murah untuk orang Brunei tapi mahal untuk orang Malaysia sejak nilai Ringgit dah macam tak bermakna buat sesiapa nak melancong sekarang nih. Hahahaha! Dekat sini banyak juga pasaraya-pasaraya besar tetapi barang-barang dalam dia sama jer macam dekat Malaysia.
Hari ini dalam sejarah! Selalunya cenderahati ini aku beli di saat tengah-tengah melancong atau hari terakhir berada di sesuatu negara tu tetapi dekat Brunei aku beli di hari pertama yer. Hahahahaha! Banyak jugalah fridge magnet yang aku beli sampai sedar-sedar dekat 30 dolar Brunei. Tukar dengan duit kita masa tu dah nak dekat RM100. Kalau sekarang memang dah lebih RM100 lah jawabnya. Hehehehe! Dapat mug sebagai Free Gift. Seronok lah tauke kedai tu sebab sakan aku memborong.
Macam-macam ada dalam nih. Kalau korang kaya memang macam-macam korang boleh beli. Aku beli setakat yang termampu jer lah! Hahahaha! Yang penting abang pecah rekod hari pertama dah borong cenderahati.
Malam pertama aku menginap di Inap Desa Easy Box. Memang betul-betul hotel kotak tak ada tingkap. Terus meresap semangat backpakers dalam sanubari. Hehehe! Masa tu Tuan Haji tanya aku selesa ker tak dekat hotel nih. Aku cakap aku okay jer. Lagipun Tuan Haji belanja tak kan lah aku nak demand lebih-lebih. Hahaha! Jadi, lepas tu Tuan Haji pun balik dan suruh aku mengembara sekitar Gadong nih. Lepas tu aku pergi dekat bahagian receptionist tu. Aku ingat yang jaga kaunter orang tempatan. Aku punya cakap Melayu sekali dia tak faham. Rupa-rupa orang Filipina. Jadi, terpaksa abang berbelit lidah nak cakap English dengan depa. Hahahah!
Taraaaaaaaaaaa!! Ini jer aku beli. Ini pun masa aku beli memang aku acah-acah kaya lah guna Dollar Brunei tu. Tak ada masanya aku nak fikir nilai duit Malaysia berapa masa beli. Kalau fikir memang aku tak beli apa-apalah dekat sini.
Abang walau bermuka Bollywood persis Shah Rukh Khan tapi masa nih feeling lebih pakai baju acah-acah Korea K-Pop pula. Hahahaha! Siap-siap nak menuju ke Pasar Gadong. Lapar! Lapar! Nak makan!
Selamat datang ke Pasar Gadong. Yang aku pergi nih yang sebelah kiri yang jual makanan. Pasar basah sebelah kanan tapi buka waktu pagi jer. Pasar Gadong nih memang terkenal jual macam-macam makanan. Masa nih aku nak acah-acah pelancong luar untuk mengenali makanan-makanan di Brunei nih. Hahahaha!
Tak besar pun pasar dia. Tak adalah besar macam Pasar Cha Tu Chak dekat Bangkok sampai kebas kaki kau berjalan. Ini nak tawaf 10 kali pun tak ada hal. Tetapi, pasar ini memang bersih lah. Sangat selesa dan menyenangkan. Dekat sini macam-macam lah ada. Nasi Katok makan popular Brunei pun ada dekat sini.
Kebab Tiga Rasa. Nyum Nyum Nyum!
Aku mula-mula dok tengok nama nih punya lah dok fikir apa kejadahnya PUSU nih. Kalau PASU aku tahu lah. Kalau BUSU pula watak dalam Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Kerana keinginan melampau aku pun tanya lah dekat abang yang menjual tu. Rupa-rupanya PUSU nih ikan bilis. Hok Aloh! Ingatkan apa tadi. Hahaha! Cuma macam di Malaysia kita pakai daun pisang. Dekat sini daun balik nasi lemak tu lain. Aku dah lupa pula nama daunnya. Inilah bahananya kalau tulis entry selepas 7 bulan melancong. Hahahaha!
Begedil dekat sini terbaik! Kalau dekat Malaysia lebih ubi dari ayam atau daging. Dekat sini memang berniaga dengan matlamat ke syurga. Puas hati!
Kuih Malaya a.k.a Apam Balik. Hahahaha!
Ikan Bakar! Ikan Bakar!
Sebagai penggemar satay mesti lah nak cuba Satay Brunei dengan Satay Madura nih. Satay Brunei nih lebih kurang macam satay Malaysia lah cuma manis sikit. Satay Madura nih aku suka sebab dia punya kuah tu lain macam sikit. Ada tumbuk-tumbuk dengan cili lah kicap bagai. Memang sedap sebab aku suka makan pedas.
Dah mesti ramai pelik dah kenapa budak nih gambar satay pun nak rakam. Kahkahkah! Tetapi tak pelik sebab masa aku datang sini memang ramai pelancong luar ada masa tu. Yang paling aku ingat segerombolan pelancong dari Korea yang datang dalam kumpulan besar lebih kurang 20 orang. Semua makanan dicubanya. Dan ada yang datang beli satay untuk cuba. Ada yang suka dan yang kelakarnya ada tak suka sampai diludahnya diam-diam dalam tong sampah. Hahaha! Padahal satay nih sedap gila kut. Lagi satu orang Brunei jual satay nih bukan macam dekat Malaysia jual secucuk. Dia jual macam 1 Dolar tu empat ke lima cucuk macam tu lah. Aku pun lupa dah. Hahaha!
Ini video akak tu tengah siapkan kuah satay madura. Nyum! Nyum!
Waktu balik ke hotel dan tiba masa melantak. Dah macam-macam aku beli tapi yang aku ambil gambar cuma nasi lemak nih jer. Hahaha! Beli macam ada dua tiga orang nak makan padahal aku seorang jer. Jenuh mengketedarah dalam bilik seorang diri.
Inilah rupanya hotel Box tu. Memang betul-betul box tapi bersih gila. Lipas tak ada langsung. Bau lipas pun langsung tak ada. Memang bersih betul. Aku bab lipas nih memang sensitif jadi sangat aman tidur dekat hotel kotak nih. Hari pertama nih memang tak ada apa-apa sangat sebab sampai pun dah lewat petang. Jadi, masa untuk rehatkan badan untuk perjalanan seterusnya esok.
BERSAMBUNG.....
إرسال تعليق
Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com