Apa Yang Menarik Di Muzium Matang?

Assalammualaikum semua. Kali ini Hans nak berkongsi tentang perkara menarik yang terdapat di Muzium Matang yang terletak di Perak. Hans berkesempatan melawat Muzium Matang ini sewaktu menyertai program Jelajah Media bersama-sama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MoTAC) dan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) yang berlangsung pada 23 hingga 24 November 2018 yang lepas.


Jadi, apa sebenarnya perkara menarik yang terdapat di Muzium Matang ini? Sewaktu perjalanan, Hans memang tidak sabar-sabar untuk menjejak, melihat dan menggali sejarah warisan yang terdapat di lokasi ini. Untuk pengetahuan semua, Muzium Matang ini asalnya merupakan merupakan sebuah kompleks kota yang dibina oleh Che Ngah Ibrahim, Orang Kaya Menteri Paduka Tuan pada tahun 1854.


Turut dikenali sebagai Kota Ngah Ibrahim, lokasi ini juga turut menjadi rumah kediaman rasmi beliau dan telah memainkan banyak peranan penting di dalam memajukan negeri Perak pada ketika itu. Kompleks ini telah digunakan sebagai pusat pentadbiran serta pengurusan pertahanan dan penyimpanan bijih timah sekitar tahun 1856 hingga 1873.


Kepada para pembaca yang tidak mengenali siapa Ngah Ibrahim ini, selain merupakan salah seorang pembesar negeri, dia juga sangat terkenal dengan kekayaannya sehingga digelar sebagai orang kaya Larut. Hasil kekayaan Che Ngah Ibrahim ini datangnya daripada sumber bijih timah yang memenuhi kawasan Larut pada ketika itu. Menyebut tentang bijih timah, ada sebuah kisah menarik yang ingin Hans kongsikan dengan semua.


Nama Larut ini dikatakan diambil daripada nama seekor gajah besar yang diberi nama Larut. Apa keistimewaan gajah bernama Larut ini sehingga namanya dijadikan sebagai salah satu nama tempat di Perak?


Untuk pengetahuan semua, gajah bernama Larut inilah yang berjaya menemui bijih timah di kawasan ini melalui tapak kakinya. Disebabkan penemuan ini menyebabkan kekayaan Ngah Ibrahim pada ketika itu boleh dianggap amat mengagumkan kerana kekayaannya mampu membeli kapal serta membina masjid yang masih digunakan oleh penduduk negeri Perak sehingga ke hari ini. Begitu besar jasa Ngah Ibrahim di dalam sumbangan ekonominya terhadap negeri Perak. Sememangnya ketokohannya memang wajar dikagumi.


Kekayaan yang dinikmati oleh Ngah Ibrahim ini telah berjaya membantu negeri Perak daripada segi kewangan, senjata dan ubat-ubatan terutama sewaktu Perang Larut berlaku. Kepada yang tidak mengetahui tentang Perang Larut ini, ia sebenarnya bermula melalui kronologi kisah pembukaan lombong bijih timah di kawasan Larut yang telah membawa masuk imigran Cina secara beramai-ramai sebagai tenaga buruh. Sebelum tahun 1848, terdapat hanya tiga orang Cina di Larut dan jumlah ini bertambah menjadi 20 orang yang diambil dari Pulau Pinang sebagai tenaga buruh.


Kemasukan orang Cina yang datang terus dari negara China telah meningkatkan jumlah penduduk di Larut. Pada tahun 1862, jumlahnya meningkat menjadi 20,000 hingga 25,000 orang. Jumlah penduduk Perak pada tahun 1912 pula ialah sebanyak 230,000 orang. Kehadiran orang Cina di Taiping telah menimbulkan dua buah kumpulan kongsi gelap iaitu kumpulan Ghee Hin yang diketuai oleh Lee Ah Kun dan kumpulan Hai San yang diketuai oleh Chung Keng Kwee. Pertelingkahan antara dua kumpulan ini menyebabkan tiga siri perang larut berlaku di dalam sejarah negeri Perak.

Perang Larut Pertama (1861-1862)

Pergaduhan berlaku pada Julai 1861 apabila kongsi gelap Hai San cuba merosakkan tali air kongsi gelap Ghee Hin yang menyebabkan seorang daripada puak Ghee Hin terbunuh. Puak Hai San sekali lagi melakukan serangan secara mengejut ke atas puak Ghee Hin di Klian Baru dan merampas harta bendanya. Serangan ini menyebabkan seramai 1,000 orang puak Ghee Hin lari ke Pulau Pinang untuk menemui ketuanya, Lee Ah Kun dan mendapatkan bantuan daripada Residen British. Dengan itu, satu rombongan pasukan polis dihantar untuk membuat penyiasatan dan hasil siasatan mendapati puak Hai San bersalah. Lee Ah Kun membuat aduan kepada kerajaan Inggeris untuk meminta ganti rugi daripada orang-orang Hai San sebanyak $17,447.04 (Ringgit Negeri-Negeri Selat). Tuntutan tersebut dibayar oleh Che Ngah Ibrahim kerana peperangan itu berlaku di dalam kawasan beliau. Orang-orang Ghee Hin kembali ke lombong mereka di Klian Baru. Sultan Jaafar menganugerahkan gelaran Orang Kaya Menteri kepada Che Ngah Ibrahim sebagai membalas jasanya.

Perang Larut Kedua (1865)

Perang ini tercetus pada bulan Jun 1865 bermula selepas berlaku pertengkaran di kedai judi di antara seorang puak Hai San dan seorang puak Ghee Hin. Dalam kejadian itu, orang Hai San telah menikam orang Ghee Hin menyebabkan pergaduhan semakin besar. Orang-orang Hai San kemudiannya memusnahkan rumah-rumah orang Ghee Hin dan berjaya menangkap 14 orang daripada mereka. Puak Ghee Hin mengambil keputusan menyerang balas tetapi gagal kerana mereka ditangkap oleh orang-orang Che Ngah Ibrahim di Klian Pauh. Chan Ah Yam, ketua puak Ghee Hin di Pulau Pinang telah berunding dengan Che Ngah Ibrahim supaya orang-orang yang ditahan semasa dalam perjalanan untuk menyerang puak Hai San tidak dibunuh. Permintaan itu bukan sahaja ditolak, malah Che Ngah Ibrahim menghalau orang-orang Ghee Hin dari Larut.

Perang Larut Ketiga (1871-1874)

Lee Ah Kun iaitu ketua puak Ghee Hin yang menjalin hubungan sulit dengan seorang perempuan puak Hai San ditangkap. Mereka diseksa hingga mati oleh puak Hai San. Perjanjian membayar ganti rugi sebanyak $2,800.00 kepada balu Lee Ah Kun yang tidak ditunaikan menyebabkan puak Ghee Hin membakar lombong puak Hai San. Orang-orang Hai San melarikan diri ke Pulau Pinang, kemudian menyeludup masuk ke Larut menemui Che Ngah Ibrahim untuk mendesak diadakan perhimpunan di Matang bagi melantik seorang kapitan Cina. Ketika itu, puak Hai San telah menyerang dan berjaya menawan semula lombong kepunyaan mereka di Klian Pauh. Pada tahun 1872, puak Ghee Hin menyerang balas dan menutup pintu keluar masuk di Simpang Empat yang mengakibatkan puak Hai San menderita kekurangan makanan. Apabila kedua-dua kongsi gelap ini menolak keputusan mesyuarat supaya mereka menyerahkan senjata dan menamatkan persengketaan, Lt. Gabenor Ansor membenarkan Che Ngah Ibrahim menubuhkan pasukan tenteranya yang diketuai oleh Kapten Speedy. Pertelingkahan di antara raja-raja dan persengketaan di antara Ghee Hin dan Hai San selesai apabila termeterainya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874.


Begitulah secara ringkas kisah Perang Larut yang secara tidak langsung berjaya menonjolkan kehebatan dan ketokohan kepimpinan Ngah Ibrahim pada era tersebut. Berbalik semua kepada Kota Ngah Ibrahim ini, ia pernah dikuasi oleh puak Ghee Hin pada tahun 1874 selepas Perang Larut 1. Kemudian Kota Ngah Ibrahin ini dijadikan pusat pentadbiran Inggeris dan juga mahkamah selepas Perjanjian Pangkor ditandatangani pada tahun 1874. Pada tahun 1913 hingga tahun 1922 pula, rumah ini bertukar fungsi dan dijadikan sebagai Maktab Perguruan Melayu.


Pada tahun 1923 hingga 1942, ia dijadikan pula sebagai sebuah Sekolah Melayu sebelum pihak Jepun menggunakannya sebagai markas tentera semasa era penjajahan mereka yang berlaku pada tahun 1942 sehingga tahun 1945. Pada tahun 1946 sehingga tahun 1983, ia dijadikan Sekolah Kebangsaan Matang sebelum diambil alih oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti pada tahun 1983 untuk dijadikan sebagai Kompleks Sejarah Matang.


Akhirnya pada tahun 1985, kota ini telah dijadikan muzium dan mengandungi pelbagai koleksi artifak serta khazanah sejarah dan kronologi berkaitan pembinaannya.


Menyentuh tentang reka bentuk bangunan ini, ciri reka bentuknya telah bercampur-campur selepas dirampas oleh pihak Inggeris dan Jepun. Apa yang menyedihkan bangunan ini turut mempunyai kisah hitamnya yang tersendiri apabila dijadikan sebagai penjara oleh penjajah Inggeris untuk memenjarakan pejuang-pejuang Melayu yang menentang pentadbiran mereka. Dato' Maharaja Lela dan pengikutnya seperti Dato' Sagor, Pandak Endut, Ngah Jabor, Panjang Bur, Kulub Ali, Si Tuah dan Che Mah yang terbabit dalam pembunuhan Residen Inggeris yang pertama iaitu J.W.W. Birch di Pasir Salak telah dipenjarakan di rumah ini sementara menunggu hari pembicaraan.


Ngah ibrahim pula telah dibuang negeri oleh pihak inggeris dan dihantar ke Pulau Seychelles kerana dituduh bersubahat di dalam kejadian pembunuhan J.W.W. Birch tersebut. Ngah Ibrahim akhirnya meninggal dunia pada tahun 1895 di Singapura.


Melawat Muzium Matang membuatkan Hans belajar satu lagi perkara baru tentang sejarah bangsa dan negara kita yang mana ia tidak dapat ditemui di dalam buku teks sejarah. Sejarah-sejarah yang dipamer dan dikongsi disini membuatkan Hans melihat orang Melayu pada zaman dahulu bukannya golongan yang biasa-biasa. Orang Melayu seperti Ngah Ibrahim mempunyai kehebatan tersendiri dari segi diplomasi, keberanian serta kebijaksanaan. Terbukti juga disini bahawa orang Melayu bijak di dalam perniagaan kerana ini telah dibuktikan oleh Ngah Ibrahim yang boleh dikatakan jutawan Melayu pada abad ke-19 di kawasan Larut, Perak ini.


Banyak lagi sebenarnya kisah menarik berkaitan Ngah Ibrahim ini yang boleh anda ketahui apabila melawat Muzium Matang. Kalau Hans cerita semua, nanti anda tidak datang pula melawat muzium yang sangat berjaya membangkitkan semangat dan rasa bangga atas kehebatan orang Melayu seperti Ngah Ibrahim ini. Jadi, kepada yang belum pernah datang ke sini, apa kata anda datang ke Muzium Matang bersama anak-anak dan ahli keluarga untuk melihat sendiri sejarah kita semua rakyat Malaysia.


MUZIUM MATANG / MATANG MUSEUM

Lokasi:
Muzium Matang,
Kota Ngah Ibrahim,
34750 Matang,
Perak.

Waktu Lawatan:
9.00 A.M - 5.00 P.M : Setiap Hari
Tutup :Hari Raya Pertama Aidilfitri & Aidiladha

Telefon:
05-847 7970
05-8472497

Fax:
05-847 7757

Laman Web:
Muzium Matang

Facebook:
Jabatan Muzium Malaysia

Instagram:
JabatanMuziumMalaysiaOfficial

P/S : Hans Sangat Sarankan Anda Semua Datang Ke Muzium Matang Kerana Muzium Ini Menawarkan Pengalaman Sejarah Yang Sangat Mahal Dan Cukup Menarik. Tidak Sama Seperti Muzium-Muzium Lain Di Malaysia. Terbaik Lah Muzium Matang!

4 تعليقات

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

  1. الردود
    1. hehehe
      sebab Muzium Matang nih terbaik
      banyak sejarah yang kita boleh belajar daripada kisah Ngah Ibrahim ini :)

      حذف
  2. Banyak sejarah Muzium ni. Alahai bila nak sampai sini entahla. Berapa ek tiket dia Hans?

    ردحذف
    الردود
    1. tiket percuma tak silap
      kalau Muzium Perak baru bayar RM2

      حذف

إرسال تعليق

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

أحدث أقدم