Aktiviti Menarik Yang Boleh Dilakukan Di Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Baru-baru ini Hans telah terlibat di dalam program Ekspresi Media-Kenyir 2019 anjuran Tourism Malaysia yang berlangsung pada 17 hingga 21 Mac 2019 yang lepas. Jadi, sepanjang empat hari empat malam Hans berada di bumi Terengganu sememangnya terdapat pelbagai memori menarik yang ingin Hans kongsikan kepada semua pembaca.


Antara lokasi terakhir yang dilawati oleh Hans untuk  program Ekspresi Media-Kenyir 2019 ini ialah melawat Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir (KECV) yang dibangunkan di dalam kawasan Hutan Rizab Kekal Hulu Telemung yang berkeluasan 256 hektar dan mula dibuka kepada pengunjung sekitar tahun 2014 yang lalu. Apa yang menariknya tentang KECV ini ialah Hans dapat menyaksikan kehidupan gajah-gajah di sini yang berada di dalam hutan rimba yang sama seperti mana habitat asal mereka.


Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir (KECV) ini beroperasi bermula pada pukul 9.00 pagi setiap hari. Jadi, untuk melihat gajah dengan lebih dekat memerlukan Hans untuk berjalan selama lebih kurang 15 minit dengan melalui beberapa menara tinjau serta jambatan gantung yang disediakan disini. Tetapi, ia amat berbaloi kerana selain dapat menyaksikan keindahan sungai dimana air sungai ini berpunca dan mengalir dari Sungai Temelong, Hans juga dapat melihat dari atas beberapa ekor anak gajah yang tinggal di sebalik pokok-pokok hutan yang tumbuh tinggi.


Akhirnya Hans tiba di satu kawasan dimana tiga ekor anak gajah dibawakan khas kepada pengunjung untuk sesi memberi makan, bermanja dengan anak gajah serta bergambar kenangan dengan mereka yang comel ini. Untuk pengetahuan para pembaca, kebanyakan gajah yang ditempatkan di Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir (KECV) ini adalah yatim piatu.


Jadi, gajah-gajah ini menjadi sangat manja dan peka mendengar arahan Penjaga Gajah disini. Menariknya, para penjaga gajah disini majoritinya merupakan anak-anak tempatan yang berasal dari kampung sekitar Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir (KECV) ini dan mereka telah diberi latihan dan kemahiran untuk menjaga gajah-gajah disini.


Hans dimaklumkan bahawa Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir (KECV) ini bekerjasama dengan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) di dalam usaha konservasi gajah disini. Alhamdulillah Hans gembira dibawa ke sini kerana buat pertama kalinya Hans dapat berada sangat dekat dengan gajah dan dapat merasa sendiri kulit serta bulu kasar gajah sewaktu memegang badan gajah ini.


Ia bukan terhad kepada pihak media sahaja tetapi setiap pengunjung berpeluang untuk memberi makan, bergambar, memegang dan memandikan anak gajah melalui aktiviti-aktiviti yang disediakan disini.


Selain itu, jangan terlepas peluang untuk menyaksikan pertunjukkan gajah yang sangat menghiburkan. Banyak aksi anak-anak gajah terlatih ini yang membuatkan Hans ketawa. Antaranya aksi menolak kayu balak, mengangkat kaki, menari serta mengejutkan rakan mereka yang konon-kononnya sedang tidur. Selain daripada itu, jika anda inginkan lebih lagi pengalaman menarik maka Hans nasihatkan untuk bersiap sedia mengangkat tangan apabila Penjaga Gajah meminta beberapa penonton untuk turun ke bawah bagi bermain dengan gajah kerana anda mungkin berpeluang merasai ciuman hangat anak gajah yang manja ini. 


Selain itu, Hans juga ingin memesan sesiapa yang menonton persembahan gajah ini agar berhati-hati pada sesi akhir persembahan kerana anak-anak gajah ini akan menyembur air ke arah tempat duduk penonton. 


Selepas tamat sesi persembahan gajah, anda berpeluang juga untuk bergambar dan memegang gajah-gajah ini. Jadi, ada satu lagi aktiviti menarik yang anda boleh lakukan dengan gajah-gajah di Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir ini. Bagi makan sudah! Bergambar sudah! Pertunjukkan gajah pun sudah! Rasa-rasa aktiviti apa lagi yang tinggal?


Jangan lupa untuk bawa baju salinan jika anda ingin menyertai aktiviti memandikan anak gajah di Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir (KECV) ini. Sesi memandikan gajah dilakukan tiga kali sehari iaitu pada pukul 11.30 pagi, 2.00 petang dan 4.00 petang. Memang menarik kerana anda dapat berada sangat dekat dengan gajah dan dapat menyental badan gajah dengan tangan anda sendiri.


Selain aktiviti menarik berkaitan dengan gajah yang dapat dilakukan di Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir (KECV) ini, Hans turut ingin mengambil peluang berkongsi tentang hidangan nasi lemak yang dijual disini. Serius nasi lemak ayam rendang disini sangat sedap. Serius Hans boleh makan dua bungkus dengan selamba sahaja sebab memang rasa nasi lemak yang dijual dekat premis di dalam ini terbaik!


Kepada yang berminat untuk berkunjung ke sini, Hans kongsikan di bawah beberapa info sebagai rujukan anda. Selamat bertemu dan bermanja dengan gajah-gajah yang comel disini.

PERKAMPUNGAN KONSERVASI GAJAH KENYIR (KECV)

ALAMAT:
Pengkalan Gawi,
Sungai Telemong, Tasik Kenyir, 
Hulu Terengganu, 
Terengganu, Malaysia.

LAMAN SESAWANG:

LAMAN FACEBOOK:

TELEFON:
09-8585588

WAKTU OPERASI:
09.00 A.M - 05.30 P.M (Setiap Hari)
Ditutup Sewaktu Solat Jumaat  (12.30 pm - 02.30 pm)


P/S : ANTARA LOKASI MENARIK LAIN YANG BOLEH DIBACA SEPANJANG EKSPRESI MEDIA-KENYIR 2019 ADALAH SEPERTI DI BAWAH:





















Post a Comment

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

أحدث أقدم