5 Perkara Menarik Yang Anda Boleh Lakukan Di Paradise Valley Broga Resort

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Baru-baru ini Hans berkesempatan untuk bermalam serta melakukan pelbagai aktiviti menarik di Paradise Valley Broga Resort dimana program ini merupakan anjuran daripada pihak Tourism Selangor. 


Hans sememangnya kurang arif tentang tempat-tempat menarik yang terdapat di Broga selain daripada aktiviti mendaki di Bukit Broga. Jadi, apabila Hans tiba di Paradise Valley Broga Resort ini sememangnya membuka mata Hans kerana disini terdapat bermacam-macam aktiviti menarik yang anda boleh cuba dan pasti anda akan suka.


Lokasi Paradise Valley Broga Resort ini sebenarnya agak unik dimana ia terletak di sebalik kawasan perumahan tetapi anda jangan risau kerana ianya sangat mudah dijumpai kerana selain menggunakan aplikasi seperti Waze atau Google Maps, anda juga akan dibantu oleh papan tanda resort ini yang diletak di kawasan-kawasan strategik untuk memudahkan anda tiba di lokasi dengan selamat tanpa sesat.

PARADISE VALLEY BROGA RESORT 

Alamat:
Lot 1742 & 1369,
Jalan Tarun 27/23,
Broga,
43500 Semenyih,
Selangor.

Pakej Harga:
RM55 - RM125 
(Bergantung Kepada Pakej Yang Diamil)

Telefon (Pertanyaan & Tempahan):
01116686188

Laman Sesawang:
Paradise Valley Broga

Facebook:


Sebenarnya Paradise Valley Broga Resort ini bukan sekadar tempat untuk anda bersantai dan bermalam untuk melupakan kesesakan dan keheningan bandaraya semata-mata tetapi juga penuh dengan pelbagai aktiviti menarik yang disediakan mengikut pakej pilihan anda. Jadi, di bawah Hans kongsikan 5 perkara menarik yang Hans telah lakukan sepanjang berada di sana selama 1 hari 1 malam.  

1. FLYING FOX

Salah satu aktiviti menarik yang WAJIB anda cuba jika berada di Paradise Valley Broga Resort ialah Flying Fox. Sumpah ini adalah antara cabaran flying fox yang Hans sangat suka sebab ketinggian serta pemandangan keseluruhannya yang menghijau yang buatkan Hans teringin nak lakukan lagi.


Kawasan aktiviti flying fox ini pun tidak jauh dari bilik penginapan dan memerlukan Hans untuk berjalan naik ke atas. Jalannya membukit jadi memang seronok lah sebab ibarat satu senaman buat Hans yang jarang bersenam nih. Hahaha!


Apa yang seronoknya sepanjang perjalanan untuk ke menara yang merupakan tempat aktiviti Flying Fox berlangsung ialah Hans dikelilingi oleh berpuluh atau mungkin beratus pokok nangka madu yang berbau wangi dan harum. Kebetulan ada pekerja resort sedang mengutip buah nangka jadi dapat lah Hans ambil gambar buah nih sekejap. Besar betul buahnya! Sedap wehhhh!


Dalam 10 minit berjalan naik ke atas maka akhirnya tiba lah Hans di menara kawalan tempat pelepasan buat sesiapa yang ingin melakukan aktiviti flying fox. Masa pandang ke bawah dari atas memang nampak tinggi sangat dan pada mulanya Hans tak ada rasa risau pun tetapi memandangkan ada beberapa orang rakan media yang memanjang takut jadi adakala mengganggu-gugat juga keberanian Hans sekali-sekala. 


Seperti biasa sebelum melakukan aktiviti maka semestinya kita perlu mendengar taklimat tentang keselamatan dan cara yang betul melakukan flying fox ini. Jadi, hanya mereka yang berumur 5 tahun ke atas sahaja yang boleh melakukan aktiviti ini dengan berat minima sebanyak 30 kilogram dan berat maksimum ialah 110 kilogram. Apa yang membuat Hans lebih selesa kerana Hans dan rakan-rakan media lain turut dibekalkan dengan pembalut kepala untuk mengelakkan daripada mengalami kegatalan rambut saat menyarung topi keselamatan. Maklum sahaja lah berapa ramai pula yang pakai topi tu kan sebelum ini. Jadi, inilah salah satu inisiatif daripada pihak Paradise Valley Broga Resort yang Hans sangat suka! Terbaik!



Di atas adalah video rakaman sebagai bukti Hans telah melakukan aktiviti Flying Fox ini dengan jayanya. Kalau ikutkan hati memang Hans nak naik balik ke atas dan buat lagi sekali tetapi apakan daya masa tidak mengizinkan sebab masa tu dah nak masuk Maghrib. Tetapi, memang ini adalah antara salah satu cabaran flying fox yang menarik pernah Hans cuba.

2. WATCHMAN TOWER WALL CLIMBING

Aktiviti seterusnya yang pada Hans sangat menarik ialah Watchman Tower Wall Climbing dimana ia boleh dimainkan oleh 6 orang peserta sekali gus. Apa yang menarik ialah setiap kawasan pemain disertakan dengan cabaran-cabaran menarik yang berbeza dan ianya boleh dimainkan secara serentak untuk melihat siapakah yang paling cepat menghabiskan cabaran melalui jam LED yang terletak di bahagian sebelah.


Masa yang paling pantas untuk menghabiskan cabaran ini yang pernah dicatatkan ialah 7 saat yang dilakukan oleh salah seorang instruktor disini. Manakala masa terpantas yang dicatatkan oleh rakan media sewaktu masing-masing semangat berlawan naik ke atas ialah sebanyak 10 saat. Memang serius laju betul mereka memanjat naik ke atas. Masa catatan Hans? Anda rasa berapa? Cuba teka! Hahaha!


Seperti biasa sebelum melakukan aktiviti sekali lagi taklimat tentang keselamatan dan cara yang betul melakukan aktiviti ini diterangkan oleh instruktor kepada para media termasuk Hans. Jadi, hanya mereka yang berumur 4 tahun ke atas sahaja yang boleh melakukan aktiviti ini dengan berat maksimum yang dibenarkan ialah 110 kilogram. 

3. MEMANAH

Aktiviti seterusnya yang sememangnya menjadi kesukaan ramai ialah aktiviti memanah. Apa yang menarik ialah harga untuk bermain permainan memanah ini adalah antara yang termurah pernah Hans jumpa setakat ini untuk lokasi resort atau taman teman yang menyediakan aktiviti ini.


Taklimat tentang cara penggunaan busur serta cara memanah turut diterangkan dan cara penggunaan busur kali ini ada sedikit kelainan terutama buat sesiapa yang kidal. Jadi, tibalah masanya untuk memanah sepuas hati. Hans dan rakan media lain dibekalkan dengan 10 anak panah setiap seorang. Maka berlumba-lumba lah kami memanah untuk menjadi juara memanah pada hari tersebut.


Alhamdulillah panahan Hans kebanyakannya hingga di papan markah tetapi kurang mengena kepada garisan markah. Keseluruhan pungutan markah Hans ialah 15 markah dan alhamdulillah Hans bukan peserta tercorot pada hari tersebut. Hahaha!

4. ZORB BALL

Antara satu perkara yang buat Hans sangat gembira ialah dapat bermain permainan yang diberi nama Zorb Ball ini. Sebenarnya Hans memang teringin sangat nak bermain Zorb Ball ini tetapi tidak berpeluang. Jadi, bila dapat tahu di Paradise Valley Broga Resort ada menyediakan permainan ini memang Hans antara orang pertama yang turun padang untuk bermain. 


Hans dan rakan-rakan media bermain dua permainan menggunakan Zorb Ball ini. Pertama kami bermain bola dan kedua kami bermain permainan yang diberi nama Save The King @ Queen. Serius sangat seronok kerana Hans perlu menggunakan seluruh tubuh daripada kepala hingga ke kaki untuk bermain permainan Zorb Ball ini. Baru lima minit dah berpeluh sakan weh! Serius sangat menyihatkan!


Jadi, hanya mereka yang berumur 6 tahun ke atas sahaja yang boleh melakukan aktiviti ini dengan berat minimum 30 kilogran dan berat maksimum yang dibenarkan ialah 110 kilogram. Kalau anda datang ke sini, silalah bermain permainan Zorb Ball ini. Hans jamin anda pasti tidak akan menyesal kerana sepanjang permainan akan berlaku pelbagai insiden lucu yang pastinya anda tidak pernah rasai sebelum ini.

5. BERKAYAK

Aktiviti seterusnya ialah berkayak dimana kawasan kolam ini juga turut menawarkan anda untuk melakukan aktiviti membina rakit serta polo air. Berdekatan dengan kawasan kolam juga, anda berpeluang untuk bertemu dengan itik yang comel seperti gambar di atas.


Taklimat tentang keselamatan turut diberikan sebelum anda dibenarkan berkayak. Jangan risau buat sesiapa yang tidak pandai berenang kerana jaket keselamatan turut disediakan dan kedalaman air kolam juga tidak lah terlampau dalam buat golongan dewasa. 


Cuma aktiviti kayak sewaktu Hans dan rakan media lakukan kali ini berbeza kerana terdapat dua 'lanun' yakni daripada rakan media sendiri yang membuat onar dengan merampas kayak-kayak yang sedang dinaiki oleh rakan media lain. Jadi, secara tidak langsung aktiviti kayak kami disini menjadi riuh-rendah dan cukup menghiburkan kerana pelbagai insiden menarik terjadi dimana semua yang berkayak basah lencun selepas kayak mereka diterbalikkan. Hahaha! Jadi, secara keseluruhannya Hans sangat gembira dan berpuas hati melakukan kelima-lima aktiviti yang Hans kongsikan dengan anda semua di dalam artikel kali ini. Banyak lagi aktiviti menarik yang ditawarkan di Paradise Valley Broga Resort dimana anda boleh melihatnya di laman sesawang mereka yang Hans kongsikan di atas.


Jika anda beranggapan bahawa kawasan Broga tiada tempat percutian atau aktiviti menarik yang boleh dilakukan maka anda memang salah besar kerana Paradise Valley Broga Resort menyediakan segala-galanya yang anda impikan. Tempat bermalam yang selesa dan unik. Pelbagai aktiviti menarik serta menghiburkan yang boleh dilakukan secara individu mahu pun berkumpulan. Paling penting sajian makanannya yang enak dan begitu mengenyangkan. Hans pasti anda tidak akan menyesal memilih untuk bercuti dan melakukan aktiviti-aktiviti mengikut pakej pilihan anda saat anda berkunjung ke sini nanti. Selamat bercuti!

2 تعليقات

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

  1. Sangat Menarik!! LeYa pun baru tahu ada resort best kat sana tu... Boleh lah nanti try pergi dan rasai juga pengalaman

    ردحذف
    الردود
    1. yes
      sama macam Hans juga baru tau
      tetapi memang tempat nih best gila

      حذف

إرسال تعليق

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

أحدث أقدم