Program Merakyatkan Seni Budaya 2019

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Pada minggu ini bersamaan 10 November 2019, Hans berkesempatan hadir ke Program Merakyatkan Seni Budaya yang dianjurkan oleh Pertubuhan Ikatan Muafakat Serumpun dan berlangsung dengan meriahnya di Summit Mall, USJ.


Program Merakyatkan Seni Budaya yang bermula pada pukul 12.00 tengahari sehingga 6.00 petang ini diserikan lagi dengan kehadiran Yang Berhormat Datuk Abdul Rashid Bin Asari yang merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerjaan Negeri Selangor Darul Ehsan (EXCO) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Dan Pelancongan, Peradaban Melayu Dan Warisan.


Turut hadir pada program kali ini ialah Yang Berbahagia Datuk Rashidi Bin Hasbullah, Pengerusi Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Yang Berusaha Prof Madya Sahar Sa'adi Bin Hashim, Rektor Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Yang Berusaha Ahmad Firdaus Bin Dato' Ahmad Hamizan, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Ikatan Muafakat Serumpun, Yang Berusaha Encik Ahmad Nazmi Bin Razali, Unit Perancangan Ekonomi Negeri Selangor dan Yang Berusaha Encik Kamarulzaman Adnan, Setiausaha Bahagian Kapar.


Pada program tersebut, Yang Berhormat Datuk Abdul Rashid Bin Asari memuji usaha Pertubuhan Ikatan Muafakat Serumpun sebagai pihak penganjur yang berjaya menganjurkan Program Merakyatkan Seni Budaya ini secara bersepadu melibatkan kerjasama pelbagai rakan strategik terdiri daripada jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri. Beliau menyatakan, kerjasama strategik yang dilakukan seperti ini amat digalakkan sebagaimana yang disarankan oleh Kerajaan dalam usaha memastikan setiap program yang dilaksanakan memberi nilai tambah dan impak positif kepada masyarakat secara keseluruhannya.


Seperti yang anda semua sedia maklum, negeri Selangor merupakan salah sebuah negeri yang mempunyai keunikan seni, budaya dan sejarah gemilang pada masa lampau. Jadi, Hans melihat Program Merakyatkan Seni Budaya yang berteraskan elemen tradisi dan warisan ini sememangnya wajar diketengahkan serta dipromosikan sebagai produk pelancongan di Negeri Selangor pada masa-masa yang akan datang.


Perkara ini disokong oleh Yang Berhormat Datuk Abdul Rashid Bin Asari yang menyatakan Kerajaan Negeri Selangor harus berkerjasama dengan penggiat-pengiat industri pelancongan, seni dan budaya di dalam melakukan usaha yang lebih komprehensif berkenaan dengan seni budaya yang mempunyai potensi besar dan dapat menyumbang kepada pembangunan negeri yang lebih holistik.


Hans sangat yakin jika pihak Kerajaan Persekutuan, Negeri dan NGO lain bersama-sama berganding bahu dan mengambil tanggungjawab serta tugas memperkasakan bidang kebudayaan ini melalui program-program pengembangan budaya yang lebih berkesan maka ia pasti akan membuahkan kejayaan yang cemerlang. Namun, ia perlu dirancang dengan rapi serta dilaksanakan dengan teratur melalui penglibatan sektor pendidikan, pelancongan dan lain-lain yang berkaitan bagi memastikan seni, budaya dan warisan terus kekal relevan dan diwarisi sebagai satu kebudayaan yang bernilai oleh generasi akan datang.


Program Merakyatkan Seni Budaya ini juga tidak ketinggalan di dalam menawarkan pelbagai aktiviti yang menarik buat pengunjung serta rakan media yang hadir dimana terdapat pelbagai permainan tradisional yang disediakan untuk dicuba serta dimainkan oleh sesiapa yang berminat. Selain itu, persembahan kebudayaan juga turut mengisi tentatif program dimana tarian unik daripada pelbagai kaum dipersembahkan buat pengunjung. Lebih menarik apabila kehadiran penyanyi berbakat iaitu Bob Yusof yang tidak ketinggalan di dalam menghiburkan penonton dengan alunan suara serta kekuatan vokalnya yang merdu.


Hans mengucapkan tahniah buat pihak penganjur kerana berjaya menganjurkan Program Merakyatkan Seni Budaya yang bukan sekadar berjalan lancar tetapi memberi manfaat serta peluang kepada masyarakat terutama buat golongan kanak-kanak dan remaja untuk lebih mengenali, memahami dan mempelajari seni budaya negara Malaysia kita yang tercinta ini. Semoga program ini akan diteruskan lagi pada tahun-tahun yang mendatang agar lebih ramai yang memperoleh manfaat daripada penganjurannya. 

Post a Comment

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

أحدث أقدم