Menjala Udang Galah Di Kolam Udang Air Gunung Lata Buluh

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Baru-baru ini Hans telah terlibat di dalam Program Familiarization Fam Trip yang berlangsung pada 29 hingga 31 Oktober 2019 di daerah Selama, Perak. Jadi, sepanjang tiga hari dua malam Hans berada di bumi Perak ini sememangnya menghadiahkan Hans pelbagai pengalaman menarik yang membuatkan Hans ingin berkongsikan segala perkara manis ini dengan anda semua yang merupakan pembaca setia blog ini.


Jadi, aktiviti seterusnya di hari kedua Hans sempena Program Familiarization Fam Trip ini ialah melawat Kolam Udang Air Gunung Lata Buluh. Apa yang menariknya tentang lawatan ke kolam udang ini ialah Hans bukan sahaja berpeluang melihat kolam serta udang galah yang terdapat di dalam kolam tersebut tetapi juga turut berpeluang menjala sendiri udang galah yang terdapat disini.


Kolam Udang Air Gunung Lata Buluh ini mempunyai satu keistimewaan yang menjadikan hasil ternakan udang galah disini segar dan sihat daripada kawasan kolam udang lain di Malaysia. Ini disebabkan oleh air yang digunakan untuk setiap kolam tidak pernah tercemar dengan unsur-unsur bahan kimia kerana ia diperoleh secara semulajadi daripada kawasan Lata Buluh yang berada bersebelahan dengan kolam udang galah ini. Air yang datang daripada bukit ini akan memastikan air di dalam kolam udang sentiasa berganti dimana sistem pengairan yang dilakukan di kawasan kolam ini yang membenarkan air sentiasa mengalir keluar menjadikan rasa udang-udang galah disini menjadi cukup manis dan semestinya lazat apabila dimakan.


Disebabkan keistimewaan inilah yang menjadikan hasil ternakan udang galah di Kolam Udang Air Gunung Lata Buluh ini tidak pernah diserang sebarang penyakit walaupun usia perusahaan ini hampir mengjangkau usia 15 tahun lamanya. Hal inilah yang membuatkan udang-udang galah disini mendapat permintaan yang cukup tinggi daripada dalam dan luar negeri Perak disebabkan kualiti udang galahnya yang sangat baik.


Selain berpeluang menjala udang galah di Kolam Udang Air Gunung Lata Buluh ini, Hans juga turut tertarik dengan pelbagai info menarik yang dikongsikan oleh pengusaha kolam udang ini. Rupa-rupanya benih anak udang galah yang dilepaskan di dalam kolam ini tidak semuanya akan berjaya membesar dengan sempurna. Pada akhirnya, cuma sekitar 15 peratus hingga 30 peratus sahaja yang akan selamat membesar dan bersedia untuk dipasarkan. Waktu yang sesuai untuk udang galah ini dijual adalah dalam lingkungan 4 bulan setengah atau 5 bulan berada di dalam kolam. Satu maklumat menarik yang Hans peroleh daripada pengusaha kolam udang ini sendiri iaitu semakin keruh air kolam maka itu menandakan semakin besar udang-udang galah yang terdapat di dalam kolam tersebut.


Selepas mendengar penerangan yang menarik daripada pengusaha kolam udang galah disini, maka Hans dan rakan-rakan telah dibawa ke rumah beliau untuk mencuba rasa udang yang dihasilkan daripada kolam miliknya. Memang masing-masing sangat teruja lah apabila dapat tahu tentang hal ini. Gila kau tak teruja? Nak makan udang galah sepit biru tu wehhh! Hahaha!


Jadi, Hans berpeluang merasa mee kari udang galah seperti yang terdapat pada gambar di atas. Udang galah menimbun sampai tak nampak mana mee kuningnya. Hahaha! Betul lah seperti yang dikata. Rasa udang galahnya memang manis dan segar. Serius Hans memang seronok sangat menikmati rasa isi udangnya yang sangat lazat. Seingat Hans memang lebih daripada lima ekor udang galah Hans telan pada hari kejadian. Ada yang lagi gila makanan laut terus dibedalnya berbelas ekor. Hahaha! Secara kesimpulannya, aktiviti melawat, menjala dan menikmati hidangan udang galah di Kolam Udang Air Gunung Lata Buluh ini sememangnya memberi satu kepuasan yang tidak terhingga kepada Hans dan rakan-rakan yang lain.


Jika ada sebarang pertanyaan berkaitan Kolam Udang Air Gunung Lata Buluh atau aktiviti pelancongan di Selama, anda boleh hubungi Urusetia Unit Pelancongan Majlis Daerah Selama seperti dibawah:

Telefon:
010 3714548 (En. Razif)
0195217385 (En. Rofizlan)

Pejabat: 
05-8394201/2021 ext 119/120/121

Faks: 
05-8394377


Jadi, kepada sesiapa yang berminat untuk merasai pengalaman menjala udang galah serta merasai sendiri udang galah yang anda tangkap, silalah berkunjung ke Kolam Udang Air Gunung Lata Buluh yang terletak di Selama, Perak. Satu pengalaman baru yang pasti akan membuatkan kedatangan anda ke Selama tidak sia-sia. Selamat menjala udang galah!

P/S : Lokasi Menarik Lain Yang Boleh Anda Baca Sepanjang Program Familiarization Fam Trip Selama Perak Adalah Dengan Melihat Pada Pautan Artikel Ini : 10 LOKASI MENARIK DI SELAMA PERAK YANG BOLEH ANDA PERGI

2 تعليقات

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

إرسال تعليق

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

أحدث أقدم