Apa Yang Menarik Di Jambatan Darul Hana Kuching Sarawak

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog www.hanshanis.com sekalian. Pada 22 hingga 24 November 2019 yang lepas, Hans telah berkesempatan menyertai satu program menarik anjuran Tourism Malaysia Sentral dengan kerjasama Malaysia Airlines dan Sarawak Tourism Board dengan melawat daerah Kuching, Sarawak. Jadi, sepanjang tiga hari dua malam Hans berada di bumi Sarawak ini sememangnya menawarkan Hans pelbagai pengalaman menarik yang cukup menakjubkan. Tambahan pula ini adalah kunjungan kali pertama Hans ke negeri Sarawak. Jadi, sememangnya Hans betul-betul teruja untuk mengetahui apakah lokasi pelancongan menarik yang menanti Hans di sekitar Kuching ini.


Jadi, lokasi tarikan pelancongan seterusnya yang ditawarkan di Kuching ini ialah pemandangan indah bertemankan limpahan cahaya jika anda berkunjung pada waktu malam iaitu Jambatan Darul Hana yang kini menjadi mercu tanda baharu di Tebingan Kuching serta menjadikan bandar raya Kuching lebih menarik untuk dilawati. Hans sebenarnya agak teruja dan tidak sangka sama sekali rekaan Jambatan Darul Hana ini kelihatan begitu futuristik. Memang cantik! 


Untuk info tambahan anda, nama jambatan yang diberi nama Darul Hana ini bermaksud tempat atau kawasan kediaman yang aman dan harmoni. Selain itu, mercu tanda yang cukup gah di Kuching ini juga turut melambangkan kepelbagaian budaya dan keunikan Kuching yang diiktiraf sebagai Bandar Raya Perpaduan. Memang betul bagai yang dikata kerana Hans merasa sangat tenang apabila berada di atas Jambatan Darul Hana ini dan suasananya memang sangat harmoni dengan kedatangan pengunjung daripada pelbagai kaum. 


Menurul hasil pembacaan Hans, Jambatan Darul Hana bukan sahaja menawarkan pemandangan yang menawan serta keindahan limpahan lampu-lampu yang berwarna-warni sahaja. Tetapi, terdapat juga air pancut berirama di tebing Sungai Sarawak berlatar belakangkan Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang dinamakan sebagai Darul Hana Musical Fountain. Air pancut tersebut akan dipersembahkan dua kali setiap malam pada pukul 8.30 malam dan 10 malam dimana setiap sesi akan mengambil tempoh selama 15 minit. Sayang Hans tidak berkesempatan menyaksikan air pancut tersebut kerana perlu menuju lokasi seterusnya akibat kekangan masa. 


Menurut info yang Hans peroleh dari pembacaan tentang lokasi pelancongan ini, air pancut berirama tersebut beroperasi menggunakan teknologi terkini yang memiliki pontoon selebar 100 meter dimana di atas pontoom itu disusun beratus nozzle yang berupaya memancutkan air setinggi 25 meter dari Sungai Sarawak. Lebih menarik apabila air pancut berirama ini juga mampu bergerak dan menari mengikut irama lagu yang dipadankan dengan kesan bunyi khas dan sistem pencahayaan yang penuh berwarna-warni mengikut kesesuaian majlis atau acara. Memang seronok lah orang Kuching sebab berpeluang tonton selalu pertunjukkan air pancut ini. 


Jambatan Darul Hana ini juga mempunyai keistimewaan dari sudut tarikh perasmiannya dimana jambatan ini telah dirasmikan pada tarikh 11 November bersamaan jam 11.11.11. Pandai betul pihak berwajib pilih tarikh yang cantik nih. Selain itu, jambatan pejalan kaki yang menghubungkan Kuching Utara dan Kuching Selatan ini juga memiliki reka bentuk istimewa dengan elemen tradisi dan moden dimana jika anda lihat terdapat dua tiang yang sekali pandang sememangnya melambangkan simbol burung kenyalang.


Selain itu, apa yang membuatkan mata Hans terpukau ialah pemandangan dari atas Jambatan Darul Hana yang menemukan Hans dengan sebuah masjid terapung yang sangat cantik dengan limpahan cahaya lampu yang memikat hati. Masjid ini dikenali dengan dua nama iaitu Masjid India Kuching dan Masjid Terapung Kuching yang turut menjadi mercu tanda baharu di Kuching.


Untuk info para pembaca sekalian, Masjid Terapung Kuching ini dibina dengan kos sekitar RM21 juta dan mampu menampung sehingga 1,600 jemaah dalam satu-satu masa. Dari sudut sejarah, masjid yang turut dikenali sebagai Masjid India ini juga mempunyai kisahnya yang tersendiri dimana pada zaman dahulu masjid ini berasal daripada sebuah pondok yang dibina oleh India Muslim yang datang berniaga di sini untuk beribadah. Siapa sangka daripada hanya sebuah pondok sebelum ianya menjadi sebesar dan secantik seperti sekarang. 


Masjid yang memiliki ciri rekaan dan binaan Timur Tengah ini juga turut dibuka kepada orang awam yang bukan beragama Islam untuk memberi peluang kepada mereka untuk melihat sendiri rekaan dalamannya. Sayangnya Hans hanya mampu melihat dari jauh kerana tidak sempat berkunjung serta bersolat di dalam Masjid Terapung Kuching yang sangat mengagumkan ini. 



Bagi Hans, Jambatan Darul Hana serta kawasan Tebing Sungai Sarawak ini sememangnya wajib dilawati oleh setiap pengunjung yang bercuti atau melancong ke Kuching, Sarawak. Bukan sahaja merupakan satu kawasan yang sangat sesuai untuk anda bergambar sakan tetapi juga mampu membuatkan anda menikmati suasana tenang dan indah yang ada di sekitar kawasan ini sama ada pada waktu siang mahu pun malam. 


Jadi, kepada sesiapa yang berkunjung ke Kuching,Sarawak maka sudi-sudikan lah diri anda untuk datang menjejakkan kaki anda di Jambatan Darul Hana dan Masjid Terapung Kuching ini. Jangan lepaskan peluang kerana memang banyak perkara menarik yang ditawarkan di sini. Jom ke Kuching,Sarawak!

P/S : Lokasi Menarik Lain Yang Boleh Anda Baca Sepanjang Program Lawatan Di Kuching, Sawarak Boleh Dilihat Pada Pautan Artikel Ini : 

8 تعليقات

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

  1. suka dengan penulisan dan olahan ayat hans. salam kenal dari amerjaya.com

    ردحذف
    الردود
    1. alhamdulillah
      terima kasih suka dengan penulisan saya.
      rajin-rajin lah melawat blog nih yer
      salam kenal juga dari hanshanis.com

      حذف
  2. almost 10 tahun tak ke kuching, insyaallah tahun ni if ada rezeki nak pergi, mkin byk pembangunan nya

    ردحذف
    الردود
    1. tak tahu lah pasal perkembangan pembangunan tu sebab hans baru pertama kali sampai Kuching
      hehehehe

      حذف
  3. waalaikumussalam. doakan kak agar sampai ke sarawak juga ^_^

    ردحذف
  4. Sangat menarik , terima kasih atas perkongsian

    ردحذف

إرسال تعليق

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi saya melalui email mohamadhanisismail@gmail.com

أحدث أقدم